Potret seribu cerita terjemah momen tersendiri

Potret seribu cerita terjemah momen tersendiri

suliati@hmetro.com.my

SETIAP individu berjuang dengan membawa beban dan perjalanan hidup yang berbeza. Apa yang mereka perlukan bukan hadiah mahal, tetapi sekadar seseorang yang sudi berhenti seketika untuk melihat, bertanya khabar atau berbual kosong.

Bukan semua hadiah dibungkus cantik atau bernilai mahal.

Bagi sesetengah insan, sekeping gambar dirakam tanpa diminta dan dihadiahkan kembali kepada pemiliknya sudah cukup untuk mengubah hari mereka.

Malah, ada yang tidak mampu menahan air mata sebaik melihat potret mereka sendiri.

Terbaharu, tular video memaparkan seorang pakcik penjual apam balik yang awalnya hanya tersenyum.

Namun, senyuman itu perlahan-lahan berubah apabila dia membelek wajahnya sendiri yang terakam dalam sekeping gambar.

Daripada kejauhan, kelihatan pakcik itu mengesat air matanya.

Perkongsian itu bukan sekadar mencuri perhatian, malah meraih lebih 58,100 tanda suka di TikTok serta dibanjiri komen-komen positif daripada warganet yang tersentuh melihat momen berkenaan.

Malah, permintaan pemilik akaun TikTok, ‘Amirul Ozil’, mendoakan ayahnya yang sudah 28 tahun meninggal dunia, menjadikan video itu lebih sarat dengan emosi dan makna yang mendalam.

Bagi pencipta kandungan dan jurugambar jalanan, Muhammad Amirul Ibrahim, 31, setiap kali menghalakan lensa kameranya kepada peniaga-peniaga kecil atau warga emas, dia sebenarnya sedang mencari sesuatu yang tidak pernah sempat dimilikinya sendiri.

Menurutnya, setiap kali bertemu peniaga warga emas atau lelaki seusia ayahnya, ada rasa yang sukar digambarkan lebih-lebih lagi ketika dia menghulurkan salam.

“Saya tidak ada ayah. Ayah meninggal dunia masa saya umur dua tahun. Sebab itu kalau saya jumpa pakcik-pakcik berniaga di tepi jalan, saya mudah tersentuh.

“Kalau saya salam mereka, saya terus menangis kerana seumur hidup, saya tidak pernah dapat rasa bersalaman dengan ayah sendiri,” katanya.

Pengakuan itu menjadi jawapan kepada persoalan yang sering bermain di fikiran pengikutnya di media sosial.

Mengapa dia sanggup berhenti di gerai-gerai kecil, merakam wajah orang yang tidak dikenalinya, mencetak gambar sebelum dihadiahkan kepada pemilik wajah berkenaan.

Rupa-rupanya, kamera bukan sekadar alat untuk merakam gambar.

Ia menjadi ruang untuk Muhammad Amirul menyampaikan penghargaan kepada insan-insan yang sedang berjuang di luar sana.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Amirul berkata, segalanya bermula pada Julai 2024.

Menurutnya, ketika itu, dia sekadar mahu mencuba sesuatu yang baharu sebagai hobi.

“Dengan berbekalkan kamera, saya keluar ke jalanan mengambil gambar momen secara rawak.

“Tanpa sedar, minat itu akhirnya mengubah perjalanan hidup saya,” katanya.

Daripada sekadar menghasilkan kandungan media sosial, dia kini menjadikan fotografi jalanan sebagai kerjaya sepenuh masa. Malah turut berpeluang bekerjasama dengan pelbagai jenama.

Namun bagi Muhammad Amirul, pencapaian itu bukan ukuran sebenar kejayaan.

Apa yang lebih bermakna ialah saat melihat wajah yang gembira kerana menerima sekeping potret diri mereka.

“Ramai orang ingat saya ambil gambar. Sebenarnya saya tunggu reaksi mereka,” katanya.

Antara pengalaman paling sukar dilupakannya ialah apabila seorang penjual karipap yang pernah dirakam datang memeluknya sambil menangis.

Menurut lelaki itu, video yang dimuat naik Muhammad Amirul menyebabkan gerainya mula dikunjungi pelanggan sehingga jualannya habis setiap hari.

“Dia cakap, ‘Terima kasih nak, lepas awak viralkan pak cik, jualan karipap pak cik habis setiap hari’.

“Masa itu saya pun menangis sekali,” katanya.

Bagaimanapun, bukan semua pengalaman yang dilalui manis.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu mengakui dirinya seorang yang pemalu sehingga ada kalanya segan untuk memberikan gambar berkaitan kepada empunya diri.

Malah, dia pernah dimarahi kerana mengambil gambar tanpa keizinan dan meminta gambar dipadam.

“Kalau orang tak bagi, saya minta maaf dan padam gambar itu. Saya tidak jadikan ia sebab untuk berhenti.

“Kalau 10 orang, mungkin seorang tidak suka. Saya pilih untuk ingat sembilan orang yang gembira,” katanya.

Muhammad Amirul berkata, menghasilkan satu kandungan ada kalanya mengambil masa yang panjang.

“Untuk momen kejutan yang terbaik, ada kalanya saya juga terpaksa menunggu lama semata-mata mahu menyerahkan gambar yang sudah dicetak kerana mahu melihat sendiri reaksi spontan individu berkenaan.

“Bagi saya, itulah bahagian paling berharga dalam setiap rakaman. Hilang semua penat selepas melihat senyuman mereka,” katanya.

Lebih istimewa, video penjual apam balik yang tular baru-baru ini sebenarnya dirakam pada hari lahirnya sendiri.

Ketika ramai meraikan ulang tahun bersama keluarga atau rakan, Muhammad Amirul memilih keluar bersendirian bersama kameranya.

Di situlah dia menemui pakcik yang kelihatan letih berdiri menunggu pelanggan.

“Saya nampak raut wajah seorang ayah yang masih kuat bekerja di tengah panas.

“Hari itu juga hari jadi saya. Saya keluar seorang diri. Bila saya tengok dia senyum selepas terima gambar itu, saya rasa itulah hadiah hari jadi paling bermakna untuk saya,” katanya.

Bagi Muhammad Amirul, setiap gambar dirakam mempunyai kisah tidak mampu diceritakan dan dilihat dengan mata kasar.

“Sekeping gambar yang saya beri bukan sekadar gambar. Di sebaliknya ada kisah hidup seseorang. Ada cerita senang, ada cerita susah,” katanya.

Lebih daripada sekadar kandungan media sosial, Muhammad Amirul percaya setiap potret dirakam adalah penghargaan kecil kepada insan-insan biasa yang berjuang di luar sana.

Daripada ratusan wajah yang pernah dirakam, Muhammad Amirul mengakui dia belajar banyak perkara tanpa sedar.

“Satu daripadanya ialah setiap manusia berjuang dengan membawa beban dan perjalanan hidup berbeza.

“Apa yang mereka perlukan bukanlah hadiah yang mahal, tetapi sekadar seseorang yang sudi berhenti seketika untuk melihat, bertanya khabar atau berbual kosong,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top