Marygrace intai bidang lakonan

Marygrace intai bidang lakonan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

RAMAI tertanya-tanya apa hasil atau pencapaian yang diraih oleh Marygrace setakat ini selepas lebih setahun bergelar juara program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM).

Apatah lagi kemenangan pada 9 Februari 2025 itu menyaksikan gadis asal Sabah ini membawa pulang hadiah utama RM1 juta.

Tanda tanya itu mula terbukti apabila lagu nyanyian Marygrace, Kau Dan Aku Kita Kekal yang menjadi lagu runut bunyi (OST) drama popular Luka Di Hujung Setia menjadi kegemaran peminat.

Marygrace atau nama sebenarnya, Marygrace Jane Penserga, 25, berkata, banyak perkara positif yang dilalui antaranya penghasilan beberapa single bersama Alternate Records & Talents.

“Saya amat bersyukur kerana sudah ada beberapa single sehingga kini serta banyak lagi khabar gembira yang akan datang. Paling teruja konsep lagu Kau Dan Aku Kita Kekal adalah yang diminati oleh saya.

“Lagu ciptaan Iqie Hugh ini sememangnya menepati apa yang saya mahukan. Ia menyerlahkan kemampuan vokal saya dan boleh dianggap ‘signature’ saya.

“Bertambah gembira apabila lagu terbabit dapat diterima baik peminat terutamanya penonton drama (Luka Di Hujung Setia) ini. Ia adalah konsep sokong menyokong dua pihak,” katanya.

Menurutnya, ia adalah lagu OST yang kedua baginya selepas Langit Tak Menjawab ciptaan Ariff Izo dan lirik Acap Salim untuk drama Rumah Menanti Cahaya.

“Bagi melancarkan kerjaya seni, saya sekarang menetap di Kuala Lumpur bersama ibu. Apabila ada tawaran persembahan di Sabah, saya akan balik ke sana, kiranya berulang-aliklah.

“Nyanyian kerjaya sepenuh masa saya selepas berhenti kerja sebagai jururawat. Saya nak fokus sepenuhnya pada nyanyian dan tidak dinafikan perasaan rindu terhadap kerjaya lama itu mesti ada.

“Tapi bila fikir balik, saya suka cabaran. Saya suka ada ‘life’, bukanlah kata semasa kerja jururawat dulu saya terikat. Saya masih ada masa untuk ‘me time’ tapi lebih banyak kerja,” katanya.

Katanya, pembabitan dalam nyanyian juga bertujuan merealisasikan impian mendiang bapanya yang mengajarnya menyanyi semasa dirinya kecil.

“Ayah punya impian begitu, jadi saya cuba fokus inilah iaitu karier nyanyian saya. Kalau bercakap mengenai perkembangan saya di Kuala Lumpur, setakat ini sangat baik.

“Saya gembira sebab sekurang-kurangnya ada kesempatan untuk bekerja dengan orang-orang yang bernama besar seperti Ade Govinda dan beberapa lagi. Peluang seperti ini bukan selalu dapat.

“Selepas ini Alternate Records & Talents nak buatkan album juga untuk saya. Kalau ada peluang dalam bidang lakonan, saya pun akan cuba juga,” katanya.

Menurutnya, memilih untuk menetap di Kuala Lumpur adalah strategi berkesan untuk belajar Bahasa Melayu standard dalam lakonan.

“Kawan-kawan saya semuanya sporting gila. Semua ‘guide’ saya dalam percakapan. Mereka siap ajak saya jalan-jalan, kenal-kenal budaya dekat KL (Kuala Lumpur) ini macam mana.

“Justeru, perlahan-lahanlah saya sesuaikan diri untuk jadi orang KL, cakap (gaya) KL. Masa mula-mula tinggal di KL, memang loghat Sabah saya pekat sangat.

“Sekarang sudah mula berbeza dan ada perubahan besar dalam pertuturan.

Tawaran untuk berlakon sebenarnya belum ada, tapi kalau ada peluang, memang saya nak mencuba,” katanya.

Marygrace mahu mencontohi Stacy yang kini berjaya mencipta nama di mata peminat sekali gus mahu mengikut jejak artis terbabit.

“Saya bersyukur syarikat rakaman sangat bagus kerana sudi mendengar pendapat saya. Mereka tanya saya nak apa sebenarnya dan nak keluarkan lagu yang macam mana.

“Tak ketinggalan mereka tanya ada mana-mana artis yang saya nak cuba kolaborasi? Dan kedua-dua pihak sama-sama bekerjasama.

“Alternate Records & Talents memang banyak membantu terutamanya nak menaikkan nama saya dalam industri dan peminat. Saya amat berterima kasih kepada mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top