Kuala Lumpur: MISC Touchtronics meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung sengit hasil persembahan penuh disiplin, semangat juang dan kerja berpasukan.
MISC Touchtronics membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi Pravinash Ravindran, sebelum pemain itu sekali lagi memainkan peranan penting apabila mencipta bantuan gol kepada Ahmad Danish pada minit ke-34 untuk menggandakan kelebihan pasukan.
Gandingan mantap antara Pravinash dan Ahmad Danish memberikan MISC Touchtronics kelebihan 2-0 menjelang tamat separuh masa pertama, sekali gus meletakkan pasukan dalam kedudukan selesa untuk mengawal rentak permainan.
Selangor FC berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Airel Husain pada minit ke-90+4. Namun, gol lewat itu tidak cukup untuk menghalang MISC Touchtronics daripada mencatatkan tiga mata berharga di laman sendiri apabila pasukan itu kekal tenang sehingga wisel penamat dibunyikan.
Turut mencuri tumpuan ialah aksi cemerlang Pravinash Ravindran, yang juga pemain skuad kebangsaan Malaysia Bawah 19 Tahun.
Dia baru sahaja mewakili negara dalam Kejohanan Bawah 19 tahun ASEAN 2026 yang berlangsung di Medan, Indonesia, sebelum kembali menyarung jersi MISC Touchtronic ms dan terus mempamerkan prestasi berkualiti dengan menyumbang satu gol dan satu bantuan gol dalam perlawanan ini.
Persembahan terbabit sekali lagi membuktikan potensi besar pemain muda negara itu yang semakin menyerlah di pentas domestik dan antarabangsa.
Keupayaannya mencipta impak dalam perlawanan menjadi antara faktor utama kejayaan MISC Touchtronics meraih kemenangan.
Kemenangan ini membuktikan kekuatan MISC Touchtronics yang dibina atas disiplin, kerjasama dan semangat juang tinggi. Tiga mata yang diraih pastinya menjadi suntikan motivasi buat pasukan untuk terus mengekalkan momentum positif dalam saingan liga.
MISC Touchtronics kini mengalihkan fokus kepada aksi seterusnya dengan tekad untuk meneruskan rentak kemenangan dan terus memberikan persembahan terbaik buat penyokong serta pihak pengurusan pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



