Premis e-waste haram terbakar: JAS pantau kualiti udara Labis

Premis e-waste haram terbakar: JAS pantau kualiti udara Labis

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor diarah memantau kualiti udara di Labis, Segamat, dekat sini, susulan insiden kebakaran sebuah stor disyaki tempat simpanan sampah elektronik (e-waste) haram membabitkan bahan aluminium, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, susulan itu JAS Johor sudah meletakkan alat pengukur kualiti udara di Kampung Usaha Jaya, Labis, susulan insiden berkenaan dikhuatiri menyebabkan pencemaran bau berbahaya.

Katanya, pemantauan kualiti udara berterusan akan dilakukan di sekitar kawasan terjejas berikutan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) masih melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman kebakaran yang memasuki hari ketiga hari ini.

“JAS Johor sedang memantau teliti bacaan kualiti udara di sekitar Kampung Usaha Jaya, dan setakat ini bacaannya normal.

“Alat pengukur kualiti udara diletakkan di Klinik Desa Sungai Karas yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kebakaran stor berkenaan.

“Selain itu, bacaan kualiti udara di lokasi berhampiran sentiasa diambil menggunakan peralatan khas oleh anggota JAS Johor,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, media melaporkan JBPM Johor terpaksa menimbus bahan api menggunakan tanah dan pasir selepas premis bahan kitar semula yang beroperasi secara haram di Kampung Usaha Jaya, terbakar.

Operasi pemadaman api di premis terbabit yang terbakar sejak tiga hari lalu dilaporkan tidak dapat dilakukan menggunakan sumber air kerana boleh menghasilkan tindak balas kimia.

Komander Operasi Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Mohd Hafifie Md Sarif, dilaporkan berkata, tindak balas itu menghasilkan gas hidrogen yang berbahaya serta boleh memburukkan keadaan.

Mengulas lanjut Tian Soon berkata , operasi pemadaman tidak boleh menggunakan air dan ‘foam’ (bahan pemadam api jenis buih) kerana bahan berkenaan bertindak balas menghasilkan gas hidrogen yang merbahaya.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM juga dilaporkan masih meneruskan pemantauan di lokasi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kerajaan Johor memandang serius insiden kebakaran premis bahan kitar semula yang dipercayai haram ini kerana ia berpotensi menyebabkan pencemaran bau merbahaya sekali gus menjejaskan kesihatan masyarakat sekitar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top