
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.-Agensi
TEHERAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menzahirkan penghargaan terhadap enam negara yang menyuarakan pendirian menentang tindakan Israel dalam konflik Asia Barat yang semakin memuncak.
Menurut beliau, negara terbabit iaitu Sepanyol, China, Rusia, Turkiye, Itali dan Mesir telah menunjukkan sikap berprinsip berdasarkan nilai sejarah dan budaya masing-masing.
“Intipati sesuatu tamadun terserlah pada saat-saat kritikal dalam sejarah. Pendirian negara-negara ini mencerminkan akar budaya dan sejarah mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan di Asia Barat terus meningkat susulan konflik antara Iran dengan gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, di samping usaha diplomatik untuk mengadakan rundingan susulan antara kedua-dua pihak.
Konflik tersebut bermula pada 28 Februari lalu apabila AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran, yang turut mengorbankan beberapa tokoh penting termasuk pemimpin tertinggi negara itu.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan siri serangan peluru berpandu dan dron terhadap sasaran ketenteraan AS dan Israel selama lebih 40 hari.
Gencatan senjata sementara selama dua minggu dicapai pada 8 April, sebelum rundingan di Islamabad diadakan bagi mencari penyelesaian kekal.
Bagaimanapun, rundingan tersebut gagal mencapai persetujuan selepas kira-kira 21 jam perbincangan, dengan pihak Iran menyalahkan tuntutan melampau daripada AS sebagai punca kebuntuan.
Dalam perkembangan berkaitan, media Itali turut mencetuskan kontroversi apabila sebuah majalah menyiarkan imej yang didakwa menunjukkan tindakan agresif seorang pendatang Israel terhadap wanita Palestin, sekali gus menambah ketegangan diplomatik antara pihak terlibat.-Agensi


