Rekreasi tenang 'mandi hutan'

Rekreasi tenang 'mandi hutan'

mahaizura@mediaprima.com.my

Ketika dunia semakin sarat dengan bunyi dan gangguan daripada notifikasi hingga kesibukan kota, semakin ramai beralih kepada trend global lebih tenang iaitu aktiviti rekreasi tanpa bunyi atau ‘silent activity’.

Aktiviti ini tidak memerlukan peralatan mahal atau perancangan rumit, sebaliknya cukup dengan meluangkan masa secara sedar tanpa gangguan bunyi atau interaksi berlebihan.

Ia boleh dilakukan melalui pelbagai cara seperti berjalan sendirian tanpa bercakap, duduk membaca di taman, menulis jurnal di tepi tasik atau sekadar menikmati secawan kopi dalam suasana sunyi.

Berbeza dengan rekreasi biasa yang sering dikaitkan dengan aktiviti fizikal atau berkumpulan, pendekatan ini lebih menumpukan kepada ketenangan dalaman dan keupayaan ‘memperlahankan’ diri.

Di Jepun, konsep ini dikenali sebagai ‘Shinrin-yoku’ atau ‘mandi hutan’, aktiviti menikmati alam secara perlahan tanpa gangguan luar.

Trend ini kini mula mendapat tempat di bandar besar dunia apabila semakin ramai berdepan keletihan mental akibat gaya hidup yang terlalu pantas dan sentiasa ‘bersambung’ dengan teknologi.

Bagi sesetengah individu, aktiviti ini menjadi ruang untuk menenangkan fikiran dan emosi tanpa perlu bercakap atau berinteraksi dengan sesiapa.

Lebih menarik, ia tidak terhad kepada lokasi tertentu kerana boleh dilakukan di mana-mana sahaja termasuk taman bandar, kawasan kampung atau halaman rumah sendiri.

Pendekatan ini juga dilihat sesuai untuk semua peringkat usia terutama mereka yang mencari cara mudah untuk berehat tanpa perlu keluar belanja atau perancangan besar seperti ‘hiking’ atau ‘camping’.

Tip cuba ‘silent activity’:

1. Mulakan 15 minit dahulu

Tak perlu lama. Duduk diam atau jalan perlahan tanpa gajet

2. Elak guna telefon

Kalau boleh, letak mod senyap. Fokus pada bunyi sekeliling.

3. Pilih lokasi ‘tenang hidup’

Bukan sunyi kosong tetapi ada bunyi alam macam angin, burung dan daun yang boleh dinikmati.

4. Jangan paksa ‘tenang’

Kalau fikiran serabut, biarkan sahaja. Itu sebahagian proses.

5. Boleh tambah aktiviti ringan

Contoh, tulis jurnal, baca buku, melukis atau minum kopi secara perlahan.

6. Jadikan rutin mingguan

Sekali seminggu sudah cukup untuk rasa perbezaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top