Seoul: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Rabu berkata, undang-undang tentera akan ditarik bali, beberapa jam selepas dia membuat pengisytiharan mengejut itu.
“Sebentar tadi, terdapat permintaan daripada Perhimpunan Kebangsaan untuk menarik balik keadaan darurat, dan kami menarik balik tentera yang dikerahkan untuk operasi undang-undang tentera,” kata Yoon dalam ucapan di televisyen.
“Kami akan menerima permintaan Perhimpunan Kebangsaan dan menarik balik undang-undang tentera melalui mesyuarat Kabinet.”
Dalam ucapan tergempar dramatik televisyen kepada negara, Yoon mengumumkan lewat malam Selasa bahawa beliau mengenakan undang-undang tentera, menuduh pembangkang melumpuhkan kerajaan dengan “aktiviti antinegara.”
Bagaimanapun, 190 ahli parlimen berjaya masuk ke dewan pada awal pagi Rabu, di mana mereka sebulat suara mengundi untuk menyekat perisytiharan undang-undang tentera dan menggesa ia ditarik balik.
Di bawah perlembagaan, undang-undang tentera mesti ditarik balik apabila majoriti di parlimen, menuntutnya.
Yoon memberikan pelbagai alasan untuk mewajarkan pengumumannya – pengisytiharan undang-undang tentera Korea Selatan yang pertama dalam lebih 40 tahun.
“Untuk melindungi Korea Selatan yang liberal daripada ancaman yang ditimbulkan oleh tentera komunis Korea Utara dan untuk menghapuskan unsur-unsur antinegara yang merampas kebebasan dan kebahagiaan rakyat, saya dengan ini mengisytiharkan undang-undang tentera darurat,” kata Yoon dalam ucapannya yang disiarkan langsung di televisyen sebelum ini kepada negara itu.
Yoon tidak memberikan butiran ancaman Korea Utara, tetapi Korea Selatan kekal berperang secara teknikal dengan Pyongyang bersenjata nuklear.
© New Straits Times Press (M) Bhd




