Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol tersilap langkah?

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol tersilap langkah?

– Advertisement –

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), Thines Sreedaran menyifatkan tindakan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera baru-baru ini sebagai satu langkah yang salah.

Beliau berkata, alasan yang diberikan oleh Presiden Yoon, iaitu ancaman serangan dari Korea Utara dan dakwaan kerjasama Ahli Parlimen pembangkang dengan Korea Utara, tidak mendapat kepercayaan rakyat. 

“Mereka turun ke jalan raya dan melakukan protes secara besar-besaran di ibu kota Seoul. Walaupun Presiden mereka mengisytiharkan undang-undang tentera, rakyat tidak berputus asa.

– Advertisement –

“Rakyat membantu Ahli-ahli Parlimen pembangkang serta Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang menentang untuk segera memasuki Parlimen walaupun dihalang oleh tentera dan polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, dua pertiga majoriti Ahli Parlimen berjaya masuk ke Parlimen dan mereka sebulat suara menarik balik undang-undang tentera tersebut. 

“Undang-undang tentera yang diisytiharkan oleh Presiden mereka hanya bertahan selama tujuh jam. Ini adalah satu kemenangan bagi pembangkang dan rakyat Korea Selatan yang menentang Presiden mereka,” jelasnya. 

Thines turut menambah bahawa kini Presiden Yoon berdepan tekanan besar untuk meletakkan jawatan, terutama dengan pelbagai skandal yang mencemari pentadbirannya. 

“Dengan isterinya terpalit dalam kes rasuah dan pemberian projek kepada ahli keluarganya, serta partinya yang tidak memegang kerusi majoriti dalam Parlimen, pengisytiharan undang-undang tentera ini menjadi satu langkah yang silap.

“Adakah beliau dapat bertahan sehingga pembubaran Parlimen pada tahun 2027? Dengan segala isu yang beliau terpalit sekarang ini mungkin menjadi penghujung kepada karier politik beliau,” soalnya. 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujudnya _‘grand coalition’_ antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang demi kestabilan politik Korea Selatan. 

“Kita harus tunggu dan lihat perkembangan di Korea Selatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2024

Scroll to Top