Presiden Melaka FC kecewa prestasi pasukan

Presiden Melaka FC kecewa prestasi pasukan

sukan@hmetro.com.my

Nilai: Pemilik merangkap Presiden Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad akui kecewa dengan prestasi dipamerkan pasukan itu dalam saingan Liga Super setakat ini, tidak seperti mana yang beliau harapkan ketika pembentukan pasukan dilakukan sebelum musim.

Malah, beliau turut mempersoalkan kualiti dan persembahan barisan pemain import pasukan itu selepas mereka menamatkan empat aksi Liga Super.

“Walaupun sebagai pemilik kelab ini, sebenarnya saya tidak terlibat dalam pemilihan pemain, cuma hanya menyediakan dana untuk pasukan harungi liga dan berkaitan pemain di bawah tanggungjawab ketua jurulatih (K Devan).

“Saya lihat prestasi pemain import tidak seperti diharapkan, ada yang main sekali tapi dah cedera dan ada juga hanya main dua dari empat perlawanan liga.

“Benda-benda macam ini tidak baik dalam pasukan, sepatutnya mereka (pemain import) lebih baik (kualiti) dari pemain tempatan,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Penaung MAKAF dan Naib Presiden Persekutuan Karate Asia (AKF), Tun Mohd Ali Rustam pada sesi taklimat dan lawatan ke gelanggang kejohanan WKF Karate di N9 Arena, hari ini.

Menurut Nur Azmi, sasaran beliau dalam Liga Super adalah di kedudukan kelima atau keenam, namun sasaran berkenaan menimbulkan persoalan jika mengambil kira prestasi dipamerkan pasukan Melaka FC ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top