am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan kembali menyampaikan kuliah Jumaat, di Masjid Rusila, Marang esok, selepas kesihatan pulih selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Jun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Ahli Parlimen Marang itu akan kembali menyampaikan ilmu pada kuliah Jumaat.
“Sama-samalah kita merebut peluang menimpa ilmu bersama Tuan Guru dan semoga dia dikurniakan kesihatan yang lebih baik,” katanya melalui Facebook (FB), malam ini.
Abdul Hadi menjalani prosedur rawatan berisiko di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Jun lalu.
Ahmad Samsuri berkata, setiap ilmu dimanfaatkan adalah bentuk kebajikan dan pahala yang tidak putus-putus.
“Tuan guru Abdul Hadi akan kembali menyampaikan ilmu di kuliah Jumaat dan marilah kita bersama merebut peluang menimba ilmu bersamanya,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau pernah ditanya bagaimana Abdul Hadi menjaga disiplin dalam menghasilkan karya ilmi untuk masyarakat dalam satu program.
“Pada pandangan saya, untuk menjadi seorang yang berdisiplin, seseorang itu perlu ada matlamat dan motivasi yang jelas.
“Contohnya tentera berdisiplin kerana itu sebahagian daripada tugas dan kerjayanya,” katanya.
Katanya, dia melihat disiplin Abdul Hadi dalam bidang ilmu datang daripada kesedaran terhadap peranannya sebagai khalifah di muka bumi.
“Kita menganggap tugas menyampaikan ilmu sebagai satu amanah yang berterusan dari saat kita hidup hingga kembali kepada Allah.
“Itulah yang menjadi sumber kekuatan dan motivasi Abdul Hadi untuk terus menuntut ilmu, menulis dan menyampaikan kepada masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
