Presiden (Syed Yazid) peramah, beliau akan selesaikan tunggakan – Almeida

Presiden (Syed Yazid) peramah, beliau akan selesaikan tunggakan – Almeida

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih penjaga gol Kuala Lumpur City (KL City), Guilherme Almeida menghela nafas lega apabila pasukan itu dilaporkan sudah memulakan proses pembayaran tunggakan gajinya.

Jurulatih dari Brazil berusia 43 tahun itu mendedahkan perkembangan terbabit selepas ditanya seorang penyokong The City Boys mengenai status tunggakan gajinya bersama kelab Lembah Klang berkenaan.

Menurut Almeida, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berhubung perkara itu.

Katanya, KL City menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan segala tunggakan dan proses pembayaran juga sudah mula dilakukan.

“Saya sudah bercakap dengan Presiden (KLFA) Syed Yazid. Beliau seorang yang peramah. Beliau sedia menyelesaikan hutang kelab dengan saya dan beliau sudah mula membuat pembayaran.

“Saya harap semuanya akan dapat dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Perkembangan itu sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada kem The City Boys yang sebelum ini dihimpit isu kewangan membabitkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Malah, situasi itu juga dilihat seiring dengan kenyataan penaung KL City, Datuk Fahmi Fadzil yang sebelum ini memaklumkan masalah kewangan pasukan berkenaan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sebagai rekod, Almeida berkhidmat sebagai jurulatih penjaga gol KL City dari 2018 hingga 2024 dan memainkan peranan penting dalam membentuk beberapa penjaga gol utama pasukan itu.

Antara nama yang pernah berada di bawah bimbingannya ialah Kevin Mendoza, Azri Ghani dan Azim Al Amin Kamaruddin yang pernah menjadi tonggak utama skuad warga kota.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top