khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan beberapa impiannya menjelang ulang tahun UMNO ke-100 antaranya masyarakat Melayu yang tidak luntur jiwa keislaman.
Mengakui beliau mungkin tidak akan ada menjelang ulang tahun UMNO ke-100 nanti, Ahmad Zahih berkata, beliau turut mengimpikan Melayu yang benar-benar memahami rukun agama.
“Saya mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati dirinya, yang menjaga maruah.. yang tinggi adab dan mulia akhlaknya.
“Saya mengimpikan Melayu yang menjadi inventor (pencipta), mencipta idea, mencipta nilai dan memangkin kemajuan nusa dan bangsa.
“Saya mengimpikan Melayu yang bersepakat, menenun jaringan dan berpaut pada satu kekuatan. Saya mengimpikan Melayu yang menjadi ikutan, menjadi tunjang kepada negara majmuk yang rencam, berbilang latar dan lapisan,” katanya semasa ucapan penggulungan Sempena Ulang Tahun ke-80 Penubuhan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, impian itu merupakan generasi Melayu yang mereka dambakan menjelang ulang tahun UMNO ke-100.
“Ia berakar pada iman, berakal dalam tindakan, berdaya dalam ciptaan, berjiwa besar dalam perjuangan dan bersatu dalam kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata, hasrat parti itu dalam 20 tahun akan datang adalah pertamanya, memperkasa dakwah bagi memelihara akidah, menegakkan syariah dan memuliakan akhlak.
“Kedua, menjadi induk kestabilan politik negara. Ketiga, menjadi ‘talent factory’ (kilang bakat) yang melahirkan cendekiawan, pakar pelbagai bidang dan intelektual berkemahiran yang menguasai teknologi masa depan.
“Keempat, menyatukan fikrah kepimpinan bangsa Melayu dan kelima menyuburkan budaya ilmu dan tafaqquh untuk merencana dasar dan membentuk kefahaman umat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




