'Pengundi muda kini tidak lagi setia mana-mana parti, lebih didorong faktor ekonomi' – Johari

'Pengundi muda kini tidak lagi setia mana-mana parti, lebih didorong faktor ekonomi' – Johari

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengundi muda kini tidak lagi setia kepada mana-mana parti politik dan lebih didorong oleh faktor ekonomi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perkara itu adalah realiti yang perlu difahami parti dalam usaha membina semula sokongan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Sehubungan itu, untuk kembali diterima, UMNO perlu berusaha memacu perubahan yang dapat menangani cabaran persekitaran politik yang kompetitif kerana pada masa ini UMNO perlu memastikan parti diterima semua kelompok pengundi dan lokaliti.

“Pengundi kini lebih tertumpu kepada parti yang dapat menjamin keterbukaan, ketelusan (transparency), keterjaminan serta pemikiran moden berikutan 73 peratus pengundi Malaysia bermastautin di bandar yang mempunyai pemikiran yang diasuh sebagai individu yang boleh berfikir secara rasional dan realistik,” katanya ketika menyampaikan ucapan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Johari yang juga Naib Presiden UMNO, berkata majoriti komuniti bandar mahukan parti yang dapat memberi manfaat kepada mereka dan berpacu ekonomi (economy driven).

“Sentimen pengundi bukan lagi seperti zaman nenek moyang dahulu kerana generasi muda ini akan memilih pemimpin yang dapat memberi manfaat kepada mereka dan bukan semata-mata bersandarkan soal kesetiaan parti.

“Orang muda akan mempersoalkan mengenai peluang pekerjaan, peluang memiliki kediaman sendiri kerana mereka tiada sikap setia kepada sesiapa,” katanya.

Katanya, beliau pernah berdialog dengan ramai pengundi muda ketika bertanding PRU14 mengenai isu pekerjaan yang berkait dengan orang muda.

“Ketika itu mereka nampak bersetuju dengan saya, namun pada PRU14, isu-isu yang dibangkitkan itu menjadi senjata untuk mengalahkan saya.

“Ini realiti orang muda yang tiada kesetiaan kepada siapa-siapa tetapi orang muda ini kembali memenangkan saya semula dalam PRU15 kerana saya sentiasa berada dengan mereka (engagement),” katanya.

Beliau berkata, faktor pengundi muda dan media sosial banyak mengubah dinamik politik negara, sekali gus menuntut pendekatan baharu daripada parti.

“Parti kita masih berdepan cabaran dalaman dan luaran yang perlu diteliti serta dilaksanakan dengan baik sebelum PRU16. Ahli parti perlu kembali bersatu dan mengetepikan perbezaan demi kekuatan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Johari turut menggesa pemimpin di peringkat bahagian agar lebih terbuka menerima kemasukan ahli baharu, khususnya golongan muda yang menunjukkan minat untuk menyertai UMNO.

Katanya, daripada kira-kira 13,000 permohonan keahlian baharu itu majoritinya adalah anak muda yang perlu diberi ruang dan peluang untuk terbabit dalam parti.

“Tidak kira sama ada kawasan itu kampung mereka atau tidak, jika mereka memilih untuk menyertai bahagian berkenaan, pemimpin perlu mengakomodasi mereka dan memasukkan mereka ke dalam cawangan kerana pengundi muda kelompok ramai pengundi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top