Nenek satu buah pinggang tawan larian denai 18km di Pulau Tuba

Nenek satu buah pinggang tawan larian denai 18km di Pulau Tuba

Oleh Hamzah Osman

am@hmetro.com.my

Langkawi: Seorang nenek berusia 66 tahun yang hanya memiliki satu buah pinggang mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan larian denai sejauh 18 kilometer (km) dalam Tuba Ocean Run 2026 di Pulau Tuba di sini, hari ini.

Rahayah Yahya dari Shah Alam menerima tepukan gemuruh penonton selepas menamatkan perlumbaan dalam 3 jam 18 minit 7 saat, berbaki 41 minit 53 saat sebelum had rasmi empat jam bagi kategori itu tamat.

Warga emas itu kini hanya memiliki satu buah pinggang selepas mendermakan satu organ berkenaan kepada suaminya dua tahun lalu.

Rahayah adalah antara 350 peserta dari 10 negara yang menyertai kejohanan anjuran Lumen Sports Sdn Bhd dengan sokongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Ketika ditemui selepas perlumbaan, Rahayah menyifatkan kejayaan menamatkan larian itu sebagai pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Alhamdulillah, makcik bersyukur dan gembira kerana dapat habiskan larian ini walaupun laluannya agak mencabar, terutama ketika mendaki dan menuruni bukit.

“Peserta lain semuanya muda. Makcik cuma berlari sederhana tetapi kekal konsisten dari awal hingga akhir, selain berhati-hati ketika melalui laluan berbukit kerana bimbang tergelincir,” katanya.

Dalam kategori 30km Lelaki Terbuka, Ku Aliff Aiman Ku Zainol muncul juara dengan catatan 2 jam 25 minit 35 saat, diikuti Mohamad Firdaus Naim Zulkifli di tempat kedua menerusi catatan 3:06:27s.

Tempat ketiga pula dimenangi Syed Amirul Asyraf Syed Badli Shah dengan catatan 3:48:56s.

Kategori 30km Wanita Terbuka turut dikuasai pelari negara apabila Wei See Ng muncul juara selepas mencatat 4:00:55s, diikuti Maizaliha Mohd Rosli (4:20:05s) dan Jing Hui Fu (5:34:10s).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top