Prestianni nafi dakwaan keluar kenyataan perkauman terhadap Vinicius

Prestianni nafi dakwaan keluar kenyataan perkauman terhadap Vinicius

Buenos Aires: Pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni mendakwa dia dihukum tanpa bukti susulan tuduhan dia mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid, Vinicius Junior.

Pemain Argentina berusia 20 tahun itu dituduh mengeluarkan penghinaan berunsur perkauman terhadap pemain Brazil berkenaan pada Februari lalu, ketika menutup mulutnya dengan bajunya.

Pengadil menghentikan perlawanan selama 10 minit dan pemain itu kemudiannya digantung bagi aksi timbal balik oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), yang turut membuka siasatan.

Jika UEFA mendapati dia benar-benar menghina Vinicius, maka dia akan digantung sekurang-kurangnya 10 perlawanan.

Real Madrid mara dengan agregat 3-1 untuk layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Prestianni memberitahu penyiar Argentina, Telefe, terlepas aksi timbal balik di Madrid amat menyakitkan dan menafikan dia mengeluarkan penghinaan itu.

“Saya terfikir mengenai ayah, ibu, datuk dan nenek saya, tentang bagaimana begitu banyak perkara diperkatakan yang langsung tidak menggambarkan siapa diri saya dan perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam wawancara pertama sejak insiden berkenaan.

“Ia sesuatu yang buruk dan sangat menyakitkan.”

Dia mengakui sangat berterima kasih kepada kelab dan rakan sepasukannya atas sokongan dalaman yang diberikan, selain menyifatkan jurulatihnya, Jose Mourinho, sebagai luar biasa.

Mourinho sebelum ini dikritik selepas dilihat seolah-olah memberi bayangan Vinicius mencetuskan dakwaan penghinaan itu menerusi sambutan golnya selepas menjaringkan gol pada aksi pertama.

Jurulatih Benfica itu kemudian memperjelaskan pendiriannya dengan memberi jaminan jika tuduhan perkauman itu disahkan menerusi siasatan, pemain Argentina itu tidak akan bermain lagi di bawah kendaliannya.

Prestianni turut dipanggil menyertai skuad Argentina bagi aksi persahabatan yang berlangsung sepanjang minggu lalu.

“Saya bekerja setiap hari untuk memastikan peluang ini tiba,” kata pemain sayap itu sambil menambah impian terbesarnya adalah untuk beraksi di Piala Dunia bersama skuad Albiceleste.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top