Kuala Lumpur: Prinsip kewangan Islam mampu menerajui pelaburan mampan ketika dunia berusaha menggembleng modal yang besar bagi menangani krisis iklim, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah peralihan ke arah masa depan yang berdaya tahan dan mampan tidak mungkin dapat dibiayai oleh dana awam semata-mata, justeru modal swasta adalah satu keperluan namun tanpa kawal selia modal sedemikian cenderung memilih pelaburan jangka pendek.
“Jadi beta percaya prinsip kewangan Islam boleh menerajui usaha ini.
“Satu tradisi yang mengikat kewangan dengan ekonomi sebenar, memberi penekanan agar modal digunakan untuk tujuan yang produktif dan bermanfaat, berkongsi risiko dan bukannya memindahkannya kepada pihak lain, serta melarang tindakan melulu dan memudaratkan – inilah yang paling sesuai dengan tuntutan pelaburan mampan,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah demikian menerusi ucapan khas pada persidangan Meja Bulat Suruhanjaya Sekuriti (SC)-OCIS ke-17 yang berlangsung di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), United Kingdom, hari ini.
Berlandaskan prinsip-prinsip tersebut, baginda menggesa pewujudan struktur sukuk, mekanisme berasaskan wakaf, serta instrumen pembiayaan membantu melindungi alam sekitar yang mengutamakan impak berbanding kemudahan komersial.
Sultan Nazrin bertitah, hal ini memerlukan keberanian untuk mencabar sikap dan keutamaan sedia ada.
“(Kita memerlukan) industri kewangan yang berinovasi secara berani dan mengambil kira risiko iklim — berlandaskan model kewangan Islam,” titah baginda.
Baginda bertitah apa yang kini mula dipanggil sebagai kewangan bertanggungjawab oleh sebahagian besar dunia, sebenarnya telah lama dianggap oleh tradisi Islam sebagai kewangan yang dikendalikan dengan cara yang betul.
Dalam konteks ini, Baginda bertitah bahawa pelaburan yang bertanggungjawab turut memainkan peranan penting dalam membiayai inovasi.
“Teknologi tenaga bersih, pertanian cekap, pengurusan air dan pembinaan berdaya tahan sedang berkembang pada kadar yang mungkin dianggap mustahil dalam tempoh hanya beberapa dekad lepas,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah pada 2025, tenaga angin, solar dan sumber boleh baharu yang lain mengambil alih arang batu sebagai sumber utama bekalan elektrik dunia.
“Bagi beta, ini adalah petanda kemajuan, dan membawa kepada sebab untuk optimis,” titah baginda.
© New Straits Times Press (M) Bhd

