PRK Nenggiri: 'Tidak guna lancar manifesto jika gagal laksana' – Ahmad Jazlan

PRK Nenggiri: 'Tidak guna lancar manifesto jika gagal laksana' – Ahmad Jazlan

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Barisan Nasional (BN) tidak mengemukakan manifesto untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, berkata manifesto BN adalah jelas iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan berkhidmat kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada 17 Ogos ini.

Katanya, tidak ada gunanya melancarkan manifesto sekiranya gagal melaksanakan tawaran yang dijanjikan itu.

“Bagi BN, manifesto tidak mampu menarik pengundi DUN Nnggiri dan sejarah sebelum ini juga sudah membuktikan.

“Jika orang tanya apa manifesto kami, Mohd Azmawi akan berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin dan menyelesaikan permasalahan yang ada jika diberi mandat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, beliau menyerahkan kepada kematangan pengundi di DUN Nenggiri untuk membuat keputusan pada 17 Ogos depan.

“Apa guna buat manifesto sebagaimana Perikatan Nasional (PN), manifesto yang 1990 pun tidak selesai lagi dan batu asas yang ditanam pun sudah tidak dijumpai.

“Satu apa pun mereka tidak buat dan PRK kali ini masih mahu menipu rakyat. Cukup-cukuplah tipu rakyat kerana penduduk di DUN Nenggiri sudah cerdik.

“UMNO yang membangunkan Kelantan bukan kerajaan PAS, contoh Projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Mereka PAS janji dalam manifesto nak buat lebuh raya rakyat, akhirnya siapa yang menyempurnakan dan melengkapkan? Kerajaan pusat juga yang akhirnya buat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd