PRK Sungai Bakap: Tiada isu, momentum gerak kerja PN semakin lancar – Muhyiddin

PRK Sungai Bakap: Tiada isu, momentum gerak kerja PN semakin lancar – Muhyiddin

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Momentum gerak kerja Perikatan Nasional (PN) dalam mengharungi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang sudah memasuki hari ketujuh semakin lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua gabungan parti komponen itu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kian ramai penyokong dan ahli parti dari semua negeri dan bahagian turun padang di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM) bagi memastikan kemenangan calon PN, Abidin Ismail.

“Nampak jentera kita bekerja kuat walaupun calon ini daripada PAS tetapi juga dia calon PN jadi BERSATU, PAS, GERAKAN, MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) banyak memberi sokongan.

“(Momentum) bagus nampak semakin lancar tapi tak boleh juga orang kata ‘over confident’ dalam pilihan raya, saya sudah ada banyak pengalaman yang penting semua pihak mesti bekerjasama.

“Nampaknya tidak ada isu apa dan sebab itu, saya harap ini akan memberikan kelebihan kepada calon kita pada pilihan raya ini,” katanya pada sesi santai bersama penyokong PN di Taman Puteri Gunung di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU turut meminta pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menggunakan saluran PRK sebagai isyarat kepada Kerajaan Perpaduan terutama membabitkan isu peningkatan kos sara hidup.

“Maksud saya tadi referendum ke tak referendum kita kena bagi isyarat kuat kepada Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri bahawa di bawah ini rakyat sedang menderita mereka berhadapan kesusahan.

“Saya tak fikir dia (Perdana Menteri) boleh buat program Budi ke apa yang dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat ada banyak lain diperlukan sebab itu dia mesti ada sifat ehsan dan timbang rasa,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Kerajaan seharusnya mempunyai jaringan keselamatan dan jaminan sosial supaya rakyat yang terutamanya sudah sedia berada dalam kesusahan tidak semakin susah dan terbeban.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PN Abidin dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin, 60.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top