am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyeru supaya mandat besar diberikan kepada Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, sokongan padu kepada kepimpinan Onn Hafiz penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri berjalan lancar dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Johor.
“Menteri Besar telah cuba melakukan yang terbaik untuk rakyat Johor tak kira warna kulit, kaum, agama dan latar belakang.
“Saya percaya dengan mandat yang padu, mandat yang lebih besar… apa pun telah yang diumumkan dan sedang dilaksanakan oleh Menteri Besar akan berjalan lebih lancar.
“Sebab itu PRN kali ini penting untuk kita pastikan bahawa kepimpinan Menteri Besar dapat mandat besar, bukan untuk dirinya, bukan untuk jawatan tetapi untuk negeri dan rakyat Johor,” katanya menerusi perkongsian video di Facebooknya hari ini.
Kemunculan bekas Ahli Parlimen Sembrong pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor di sini semalam mencuri tumpuan apabila beliau kembali kepada parti itu melalui agenda Rumah Bangsa.
Selain Hishammuddin, dua bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tan Sri Noh Omar dan dan Tan Sri Syed Hamid Albar turut mengikut jejak langkah sama dengan pengumuman dibuat sendiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, semangat luar biasa yang ditunjukkan pada majlis pelancaran jentera BN itu perlu diterjemahkan dalam bentuk sokongan di peti undi.
“Saya tengok semangat yang luar biasa kita berhadapan dengan PRN tak lama lagi.
“Ini satu petanda yang baik dan saya doakan semangat yang ditunjukkan dalam dewan tadi boleh diterjemahkan di luar sana sehinggalah tarikh pembuangan undi nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




