khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peranan media sebagai jambatan penyampai maklumat disifatkan amat penting bagi memperkukuhkan sektor pertanian dan agromakanan sebagai sektor strategik yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan bekalan makanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata, media bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah membantu membina kefahaman, keyakinan dan minat terhadap sektor agro yang semakin moden, berdaya maju dan mempunyai potensi besar untuk generasi masa depan.
“Sektor pertanian dan agromakanan hari ini bukan sekadar sebuah sektor ekonomi, malah tunjang penting kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Media Agrobank 2026 di ibu negara, hari ini.
Hadir sama, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr Ainol Amriz Ismail.
Turut hadir, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (MPB) Farrah Naz Abd Karim yang juga Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan NCA Rangkaian Televisyen MPB Azhari Muhidin.
Mengulas lanjut, Chan berkata, dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan rantaian bekalan makanan dan peningkatan kos pengeluaran, agenda keterjaminan makanan menjadi semakin penting selain memerlukan komitmen semua pihak.
“Dalam konteks ini, media memainkan peranan yang amat signifikan sebagai jambatan antara dasar kerajaan, pemain industri dan masyarakat.
“Melalui laporan, rencana, dokumentari serta pelbagai bentuk kandungan kreatif, media membantu meningkatkan kefahaman rakyat terhadap isu-isu berkaitan pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Menurutnya, media turut berperanan mengetengahkan kisah kejayaan petani, penternak, nelayan dan usahawan agro yang menjadi nadi kepada pembangunan sektor ini.
“Kisah-kisah inilah yang memberi inspirasi kepada masyarakat dan membuka mata generasi muda bahawa sektor pertanian mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan, inovasi dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agrobank yang terus memainkan peranan sebagai institusi kewangan pembangunan yang menyokong petani, penternak, nelayan dan usahawan agro.
“Ia melalui pelbagai kemudahan pembiayaan serta program pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti agro di seluruh negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




