SHAH ALAM – Ketetapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyeru pengundi menolak Pakatan Harapan (PH) dalam pertembungan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan kematangan dengan mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, mesej disampaikan Presiden Pas itu cukup jelas iaitu sekiranya mahu menghalang kemenangan PH, pilihan yang ada ialah mengundi BN.
Beliau berkata, walaupun parti itu dan BN mempunyai perbezaan politik, Pas menunjukkan kematangan apabila berani mengambil pendirian jelas dalam situasi berkenaan.
“Bagaimanapun pendirian ini berbeza dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan mengarahkan ahli menyokong mana-mana parti lain di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Zaidi berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada Bersatu benar-benar mahu menyekat kemenangan PH atau kebencian terhadap UMNO lebih besar sehingga sanggup memberi kelebihan kepada PH.
Beliau turut mempersoalkan hala tuju pengundi PN pada PRN Johor memandangkan Pas dan Bersatu dilihat memberi isyarat berbeza kepada penyokong masing-masing.
“Adakah pengundi perlu mengikut pendirian Presiden Pas yang secara jelas menyeru supaya PH ditolak atau pendirian Presiden Bersatu enggan memberi arahan kepada ahli dan penyokongnya?” soal beliau.
Mohd Zaidi berkata, jika kepimpinan PN sendiri gagal menyelaraskan pendirian mengenai parti yang perlu disokong, sukar untuk pengundi memahami hala tuju sebenar gabungan itu.
Beliau berkata, pengundi PN berhak mendapat penjelasan dan tidak sepatutnya dibiarkan mentafsir sendiri arahan yang bercanggah daripada kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau berkata, Bersatu sebelum ini lantang menyerang UMNO dengan pelbagai tuduhan termasuk mendakwa parti itu kononnya tunduk kepada PH dan DAP.
“Namun apabila tiba masanya membuat pilihan antara BN dan PH, Pas berani menyatakan pendirian, manakala Bersatu memilih untuk berdolak-dalik,” jelas beliau.
Beliau berkata, dalam pertembungan dua penjuru, tidak memilih BN bermakna membuka ruang kepada kemenangan PH kerana tiada pilihan ketiga.
Menurutnya, BN tidak pernah meminta mana-mana parti mengorbankan prinsip masing-masing, sebaliknya menghargai pendirian Pas yang meletakkan kepentingan rakyat, kestabilan politik dan masa depan Johor mengatasi sentimen kepartian.
Katanya, pendirian Pas juga membuktikan dakwaan BN dan PH adalah sama tidak berasas kerana jika benar demikian, parti itu tidak akan menggesa penyokongnya menolak PH dalam pertembungan dua penjuru dengan BN.
“Rakyat Johor kini perlu memilih sama ada gabungan yang masih bercanggah sesama sendiri.
“BN konsisten menawarkan sebuah kerajaan stabil, berpengalaman dan mempunyai hala tuju jelas,” tegas beliau.



