am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Membina lebih banyak perumahan mampu milik serta menaik taraf kemudahan demi kesejahteraan rakyat antara manisfestasi calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Mohd Yusla Ismail, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Bukan sekadar angan-angan kosong, penyandang penggal lalu itu memberitahu, kedua-dua manisfestasi sudah lama dirancang sewaktu beliau menjadi ADUN Senggarang pada 2022.
“Inilah yang saya cuba sampaikan kepada pengundi dalam DUN Senggarang terutama perumahan bagi pasangan muda. Saya melihat ia sangat penting kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui prosedur bagaimana memohon kediaman terbabit.
“Matlamat saya adalah membantu mereka memiliki kediaman sendiri. Mereka juga perlu didedahkan dengan konsep bagaimana atau cara memohonnya.
“Selain itu, saya melihat Senggarang ada keunikan tersendiri terutamanya di Minyak Beku yang mana perlu dibangunkan. Kita sedang merancang bagi membina pusat rekreasi kepada penduduk dan juga pengunjung luar.
“Kita yakin lokasi ini pasti terus menjadi tumpuan serta memudahkan penduduk setempat menjalankan aktiviti riadah,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Mohd Yusla turut memberitahu, jentera BN Senggarang akan membantu membawa pulang seramai mungkin pengundi kelak.
Katanya, terdapat kira-kira 3,000 pengundi yang bekerja dan menuntut di luar kawasan dan mereka akan dihubungi oleh petugas BN bagi membantu mereka pulang.
“Kita sediakan pusat panggilan dan petugas akan menghubungi mereka bagi membolehkannya pulang pada hari pengundian.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




