am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pakatan Harapan (PH) tidak terdesak untuk menamakan calon Menteri Besar semata-mata bagi memenuhi kehendak pihak lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Exco Pemuda Amanah Nasional Nur Hafiz Roslan berkata, pemilihan calon Menteri Besar bukan dibuat semata-mata bagi memenuhi tuntutan politik atau menjawab desakan pihak tertentu, sebaliknya berdasarkan pertimbangan bersama dalam kalangan parti komponen gabungan berkenaan.
“Pakatan Harapan tidak terdesak mencari ‘poster boy’ hanya untuk memuaskan hati lawan, tetapi lebih kepada persetujuan secara kolektif dalam suasana rahmah. (Apa) yang lebih penting adalah calon Menteri Besar yang dipilih kelak pastilah seseorang yang berwibawa, mempunyai sikap terpuji, sopan dan berhemah.
“Seseorang yang sentiasa berusaha menyatukan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang dan menyeru kepada perpaduan di negeri Johor ini, bukan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempersoalkan siapakah calon Menteri Besar PH sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRN Johor nanti.
Menurut Nur Hafiz, PH yang dianggotai AMANAH, PKR dan DAP mengamalkan budaya demokrasi serta saling menghormati dalam kalangan parti komponen, selain mengutamakan perbincangan bersama dalam membuat sebarang keputusan penting.
Katanya, individu yang bakal dipilih sebagai Menteri Besar Johor perlu mengutamakan suara hati rakyat dan bukannya sekadar membawa agenda parti atau gimik politik semata-mata.
Dalam pada itu, Nur Hafizturut mengingatkan bahawa BN sendiri pernah berdepan situasi sama pada PRN Johor 2022 apabila persoalan mengenai calon Menteri Besar turut menjadi perhatian ketika itu.
Beliau berkata, sehingga tamat pilihan raya berkenaan, BN sendiri masih belum dapat memutuskan secara jelas siapakah yang layak diangkat sebagai Menteri Besar Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




