PRN Johor: Referendum nasional dan kelangsungan gabungan politik

PRN Johor: Referendum nasional dan kelangsungan gabungan politik

GENDANG perang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akhirnya dipalu secara rasmi sebaik sahaja proses penamaan calon melabuhkan tirainya semalam. Detik ini serta-merta mengubah status wilayah selatan tanah air menjadi pusat graviti yang menarik seluruh tumpuan politik negara.

Kali ini, Johor bukan lagi sekadar medan memilih wakil rakyat biasa. Pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang merombak habis-habisan naratif politik konvensional, landskap polarisasi di Malaysia kini bergerak dalam acuan yang cukup asing.

Kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat melahirkan dinamika lokaliti yang rumit, memaksa Johor yang selama ini megah sebagai lambang kestabilan, perlu menyesuaikan diri dengan realiti baharu.

Misi memburu angka keramat majoriti mudah, iaitu 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan lagi sekadar persaingan wilayah yang terpencil.

Ramai penganalisis melihat pertempuran di Johor sebagai satu bentuk referendum nasional. Isyarat yang keluar dari peti undi di sini bakal bergema terus ke Putrajaya, malah menjadi kayu ukur awal kekuatan tiga blok gergasi antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), dan Perikatan Nasional (PN) sebelum beralih ke PRN Negeri Sembilan dan kemuncaknya, PRU16.

Sebagai penyandang yang menang besar pada edisi 2022, BN memikul beban berat. Fokus mereka bukan sekadar mahu kembali berkuasa, tetapi bagaimana untuk mengekalkan dominasi mutlak tanpa memperlihatkan sebarang kerapuhan.

Di bawah pentadbiran Menteri Besar hari ini, naratif lonjakan ekonomi negeri serta impak projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijadikan peluru utama untuk memikat pengundi bandar dan kelompok korporat.

Namun, jalan untuk UMNO mengekalkan status quo ini masih penuh ranjau. Pergolakan dalaman berhubung pemilihan calon yang dilaporkan berlarutan hingga saat-saat akhir mendedahkan wujudnya kelonggaran koordinasi antara pucuk pimpinan dengan akar umbi.

Silap langkah, retak kecil ini boleh mengundang tindakan sabotaj senyap yang berpotensi melumpuhkan jentera luar bandar, kubu kuat yang selama ini menjadi talian hayat tradisi mereka.

Bagi PH pula, pendekatan di selatan kali ini tampak lebih berpijak di bumi nyata. Menyedari batasan semasa, mereka tidak lagi meletakkan sasaran melangit untuk menguasai kerajaan negeri sendirian. Strategi defensif menjadi pilihan. Benteng di kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai demografi campuran mesti dipertahankan habis-habisan.

Kawasan ikonik seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Skudai, dan Perling kekal menjadi sandaran utama bagi membuktikan identiti politik progresif mereka belum pudar. Kekuatan PH di koridor bandar ini amat bergantung kepada kesetiaan kelas menengah serta dinamisme pengundi muda.

Bagaimanapun, ujian terbesar mereka adalah memastikan jentera parti komponen, khususnya PKR dan DAP, dapat bergerak seiring di lapangan tanpa dibayangi prejudis lama. Sama ada sokongan urban ini mampu diterjemahkan sebagai kubu kebal atau sebaliknya, bakal menentukan sejauh mana relevannya suara PH di Johor.

Seterusnya, PN melihat Johor sebagai rintangan paling sukar, namun paling wajib ditembus.

Selepas berjaya melebarkan pengaruh di Pantai Timur dan Utara, mereka memerlukan satu titik pecah (breakthrough) di selatan demi membuktikan naratif mereka sebagai wadah alternatif tunggal bagi masyarakat Melayu.

Fokus PN jelas terhala kepada kawasan majoriti Melayu bagi memancing undi protes daripada penyokong UMNO yang kecewa dengan dinamika politik semasa. Kawasan seperti Bukit Kepong dijangka terus menjadi paksi pergerakan mereka.

Pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN di segmen luar bandar ini akan menentukan ke mana arah sebenar sokongan orang Melayu. Jika PN mampu menambah bilangan kerusi secara drastik, itu petanda jelas penguasaan mutlak UMNO di kubu tradisinya sedang dikais zaman.

Di sebalik perancangan makro parti-parti besar ini, keputusan akhir sebenarnya sering ditentukan oleh perincian lokaliti yang lebih halus.

Pertama, faktor kredibiliti personaliti kini menjadi keutamaan memandangkan pengundi Johor semakin matang dan lebih cenderung menilai trek rekod serta kebersihan tokoh tempatan berbanding sekadar taksub kepada logo parti semata-mata.

Selain itu, peratusan keluar mengundi turut memainkan peranan kritikal kerana sejarah membuktikan peratusan keluar mengundi yang rendah selalunya memberi bonus kepada BN yang memiliki jentera akar umbi sangat berdisiplin untuk membawa pengundi tegar ke pusat pembuangan undi.

Akhir sekali, faktor pengacau melalui kehadiran parti-parti kecil seperti BERSAMA dan MUDA tidak boleh dipandang remeh kerana dalam saingan sengit, keupayaan mereka memecahkan undi mampu mengubah keputusan di saat-saat akhir.

Secara keseluruhannya, PRN Johor kali ini jauh melangkaui sebuah ritual demokrasi biasa. Lebih daripada soal menang atau kalah, ia adalah medan eksperimen nasional yang menguji ketahanan naratif setiap blok sebelum melangkah ke PRU16.

Keputusan yang bakal keluar nanti bukan sahaja mencorakkan masa depan Johor untuk lima tahun akan datang, malah menjadi kompas awal menunjukkan ke mana arah angin politik Malaysia dalam era pasca-Kerajaan Perpaduan.

Mujibu Abd. Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan.

Scroll to Top