PRN Melaka: Ab Rauf berazam kembalikan kegemilangan Melaka

PRN Melaka: Ab Rauf berazam kembalikan kegemilangan Melaka

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berazam mengembalikan kegemilangan Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan terkemuka sebelum jatuh ke tangan penjajah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berkata, sejarah kehebatan negeri itu perlu difahami supaya generasi hari ini menghargai kemerdekaan serta menyedari tanggungjawab membina masa depan anak cucu.

“Sekiranya diberi izin untuk saya memikul amanah, saya kembalikan Melaka lebih gemilang,” katanya ketika berucap pada ceramah kempen di Taman Jeram Perdana di sini, malam tadi.

Mengaitkan azam itu dengan sejarah negeri itu, Ab Rauf berkata, Melaka pernah menjadi pusat perdagangan, perkembangan agama dan bahasa yang dikenali di seluruh dunia.

“Kehebatan pengurusan pelabuhan serta kegiatan perdagangan rempah antara perkara yang mencerminkan kemampuan masyarakat Melaka ketika itu.

“Teknologi perkapalan yang paling hebat datang daripada Melaka. Belanda cukup cemburu dengan kita selepas melihat bagaimana orang Melaka ini hebat menguruskan pelabuhan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kegemilangan itu kemudian berdepan kehancuran akibat penjajahan, dengan sejarah itu perlu menjadi pengajaran kepada generasi sekarang.

Dalam konteks perjuangan politik, beliau mengingatkan penyokong bahawa usaha yang dilakukan hari ini turut menentukan masa depan generasi akan datang.

“Jangan lupa perjuangan yang kita buat sekarang ini bukan untuk kita. Untuk anak cucu kita,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Rauf menyeru pengundi memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada 14 November ini bagi membolehkan perjuangan itu diteruskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top