bhnews@bh.com.my
Melaka: Barisan Nasional (BN) Melaka berjaya melaksanakan 97 peratus janji manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kata pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, kejayaan itu dijadikan asas kepada kerajaan negeri dalam menilai pencapaian serta keberkesanan setiap tawaran yang dikemukakan kepada rakyat bagi PRN kali ini.
Katanya, pencapaian itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap janji ketika pilihan raya bukan sekadar tawaran politik, sebaliknya diterjemahkan menerusi pelaksanaan yang telus dan bertanggungjawab.
“Sebagai rekod, berdasarkan rumusan semakan manifesto terdahulu bagi tempoh 2021 hingga 2026, kita sudah pun melaksanakan 97 peratus janji manifesto pada pilihan raya lalu.
“Ini menjadi asas penting untuk kita terus menilai dan menjadi asas penting untuk pelaksanaan tawaran baharu dengan telus dan bertanggungjawab.
“Manifesto ini satu matlamat jelas iaitu memastikan pembangunan Melaka dapat diterjemahkan dan manfaat sebenarnya kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto BN dan Perikatan Nasional (PN) PRN Melaka ke-16, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, sebagai manifesto sulung yang menyaksikan gandingan BN dan PN, pihaknya melihat ia sebagai gerak kerja pertama yang dijangka bakal menyaksikan kejayaannya pada 14 November ini.
“Kita mengadakan beberapa mesyuarat bersama dan memberikan pandangan dan bertukar-tukaran fikiran, dan akhirnya kita sampai ke rumusan yang kita bentangkan tadi.
“Pastinya ini adalah adalah pembentukan manifesto pertama, dan pastinya juga ini adalah gerak kerja yang pertama. Dan ini adalah juga kejayaan bersama yang bakal kita lihat pada 14 November nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




