am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Barisan Nasional (BN) akan berkongsi pentas dengan PAS untuk mengumumkan calon masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seperti yang diumumkannya semalam, BN akan memperkenalkan 21 calon manakala rakan gabungan itu sebanyak tujuh calon.
“Insya-Allah di pentas yang sama dan di dewan yang sama (Sabtu ini), kita akan umumkan 21 (calon), mereka akan umumkan tujuh,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.
Hadir sama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengesahkan rundingan persefahaman politik dengan PAS sudah dimuktamadkan menjelang PRN Melaka, bulan depan.
Beliau dilaporkan berkata, rundingan yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu itu turut bersetuju BN akan bertanding di 21 kerusi, manakala tujuh lagi akan ditandingi PAS serta rakan politiknya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN akan menyelaraskan pemilihan calon mengikut keserasian di kawasan masing-masing serta peluang memenangi kerusi pada PRN Melaka.
Katanya, rundingan bersama semua parti komponen BN sudah selesai dijalankan, namun masih menunggu keputusan perbincangan dengan rakan strategik politik.
“Insya-Allah segala-galanya akan selesai dengan baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




