PRN Melaka: Denesh beri perhatian isu kemudahan asas masyarakat Orang Asli

PRN Melaka: Denesh beri perhatian isu kemudahan asas masyarakat Orang Asli

ALOR GAJAH – Kemudahan tandas, jalan kampung yang rosak dan pengurusan sampah antara aduan penduduk Orang Asli Kampung Gapam yang diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, P Denesh.

Aduan itu disampaikan Tok Batin Kampung Orang Asli Gapam, Seli Tengga ketika calon berkenaan mengadakan kunjungan ke kampung tersebut bagi mendekati penduduk dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Seli berkata, kemudahan asas yang disediakan ketika ini masih belum mencukupi dan memerlukan penambahbaikan bagi memastikan penduduk dapat menikmati kehidupan lebih selesa.

Menurutnya, antara masalah utama ialah keadaan jalan ke kebun getah yang rosak akibat hakisan sehingga menyukarkan penduduk untuk menjalankan aktiviti harian.

“Jalan ke kebun masih tidak elok walaupun rosak, kami terpaksa juga menggunakannya kerana itu laluan untuk menoreh getah.

Kami juga berharap jalan pintas ke Jasin diberi perhatian kerana ia memudahkan pergerakan penduduk,” katanya.

Seli turut berharap kemudahan tandas yang lebih selesa, pengurusan sampah dan penyelenggaraan jalan dari rumah ke rumah dapat diberi perhatian bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kampung berkenaan.

Sementara itu, Denesh berkata, setiap aduan penduduk akan diteliti, termasuk keperluan menaik taraf jalan kampung dan kemudahan tandas yang lebih selesa.

Menurutnya, pembangunan masyarakat Orang Asli tidak seharusnya terhad kepada penyediaan kemudahan asas, sebaliknya perlu merangkumi aspek pendidikan, peluang pekerjaan dan kebajikan.

Katanya, pendidikan anak-anak Orang Asli perlu diperkasakan supaya mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan, termasuk peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita mahu melihat lebih banyak peluang diwujudkan melalui pembangunan industri supaya masyarakat Orang Asli turut mendapat manfaat.

“Kebajikan mereka juga perlu terus diperkasakan,” katanya.

Mengulas pendekatan kempen, Denesh berkata, beliau bersama jentera kempen menggunakan pendekatan turun padang dan ziarah dari rumah ke rumah bagi mendengar sendiri permasalahan penduduk.

Beliau berkata, pertemuan secara bersemuka termasuk bersama Tok Batin membolehkannya memahami keperluan masyarakat setempat, selain memanfaatkan media sosial seperti TikTok untuk mendekati pengundi.

“Saya berharap dapat diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat DUN Asahan bagi membawa suara dan keperluan penduduk, termasuk masyarakat Orang Asli ini.

“Ini tekad yang dibawa PH untuk semua rakyat selari dengan tema manifesto kita ‘Melaka Rumah Kita’,” katanya.

Terdapat empat perkampungan Orang Asli di DUN Asahan yang merangkumi 174 keluarga.

DUN Asahan menyaksikan persaingan dua penjuru antara Denesh bersama penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan yang mewakili Barisan Nasional (BN)

Scroll to Top