JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, calon PKR bersama-sama calon Pakatan Harapan (PH) akan diumumkan pada 24 Oktober ini oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memberitahu, program Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pakatan Harapan PRN Melaka ke-16 akan diadakan pada jam 8 malam di Tapak Parkir Stadium Hang Jebat, Melaka.
“Persiapan parti untuk menghadapi pilihan raya berkenaan kini berada pada peringkat akhir, dengan calon yang bakal diketengahkan hampir dimuktamadkan.
“PKR akan bertanding di sembilan kerusi berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan saingan sengit pada PRN Melaka,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Zon Selatan di Paradigm Mall Convention Centre di sini, pada Jumaat.
Ditanya kemungkinan kerjasama politik dengan pihak lain dalam PRN Melaka, Fuziah berkata, setakat ini tiada sebarang persefahaman rasmi dilakukan.
Bagaimanapun, tegasnya, PKR mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada pihak lain yang mahu membantu parti itu menghadapi PRN Melaka.
Dalam pada itu beliau enggan mengulas lanjut mengenai strategi parti berhubung kemungkinan kerjasama itu kerana ia merupakan sebahagian daripada perancangan dalaman PKR.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober, undi awal 10 November dan hari mengundi pada 14 November, selepas DUN dibubarkan berkuat kuasa 23 September.



