SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengambil maklum perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu bagi membolehkan calon daripada gabungan itu bertanding menggunakan nama dan lambang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya turut meminta SPR memberikan kesan terhadap perintah tersebut dalam pengendalian PRN Melaka selain memaklumkannya kepada Pengarah Pilihan Raya Melaka termasuk pegawai pengurus sebelum hari penamaan calon.
Menurut beliau, PN bersedia memberikan kerjasama, menghormati dan mematuhi perintah mahkamah selagi mana pihak berkuasa awam termasuk SPR serta pegawai-pegawai pengurus berbuat perkara sama.
“Sekiranya kertas penamaan mana-mana calon PN tidak diterima, ditolak, tidak dibenarkan menggunakan nama dan lambang PN atau jika apa-apa bantahan terhadapnya dibenarkan atas sebab Notis, Perintah Penggantungan mahupun Perintah Pembatalan yang kesemuanya ditangguhkan atau pelaksanaannya dihalang oleh Mahkamah.
“PN dan calon-calonnya merizabkan sepenuhnya hak mereka untuk mengambil apa-apa tindakan yang difikirkan perlu, termasuk membawa perkara itu kepada perhatian Mahkamah Tinggi dalam Permohonan bagi Semakan Kehakiman No. WA-25-276-10/2026, memulakan prosiding yang sesuai, dan memfailkan petisyen pilihan raya.
“Surat ini ditulis tanpa prejudis kepada segala hak PN, parti-parti anggota dan calon-calonnya yang kesemuanya dirizabkan dengan nyata,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian menerusi surat bertarikh 28 Oktober lalu secara serahan tangan kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun melalui Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Penasihat Undang-Undang SPR, Habibah Haron.
Surat tersebut kemudiannya disahkan diterima dan ditandatangani oleh Ramlan pada Khamis.
Takiyuddin juga menambah, kesan perintah tersebut menetapkan bahawa penggantungan tidak berkuat kuasa atau dalam erti kata lain, PN bebas menjalankan kegiatannya secara sah termasuk memilih, mencalonkan dan memperakukan calon-calonnya.
Jelasnya lagi, pendaftar pertubuhan dihalang daripada membatalkan pendaftaran PN atau memberi kesan terhadap apa-apa pembatalan, termasuk Perintah Pembatalan bertarikh 20 Oktober yang diasaskan atas notis sama.
“Selain itu, PN kekal sebagai parti politik berdaftar bagi segala maksud, termasuk peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, sementara menunggu pelupusan permohonan semakan kehakiman.
“Notis Rayuan yang difailkan bagi pihak pendaftar pertubuhan dan Menteri Dalam Negeri tidak menangguhkan perintah tersebut. Menurut kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, sesuatu rayuan tidak beroperasi sebagai penangguhan pelaksanaan melainkan mahkamah memerintahkan sebaliknya.
“Tiada perintah sedemikian dibuat. Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 22 Oktober kekal berkuat kuasa dan mengikat,” ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi.
Justeru, menurut Takiyuddin, calon-calon PN bakal bertanding dalam PRN Melaka ke-16 di mana setiap daripadanya akan mengemukakan kebenaran bertulis yang ditandatangani pegawai PN bertanggungjawab berlandaskan peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 berserta salinan perintah mahkamah kepada pegawai pengurus SPR.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa notis pembatalan pendaftaran PN yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bertarikh 20 Oktober 2026, digantung oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober.
Hakim, Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian selepas berpandangan bahawa terdapat kemudaratan lebih besar kepada PN selaku pemohon sekiranya penggantungan pelaksanaan tidak dibenarkan.
Beliau kemudian membenarkan permohonan gabungan parti itu supaya notis berkenaan digantung sehingga prosiding substantif semakan kehakiman didengar.
Keputusan tersebut dibuat sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi PRN Melaka ke-16, dengan gabungan itu berusaha mempertahankan haknya untuk bertanding menggunakan nama dan logo sendiri.
Azizan turut membenarkan permohonan PN untuk menggantung pelaksanaan notis penggantungan bertarikh 23 September lalu sehingga permohonan semakan kehakiman selesai diputuskan.
Semasa membaca keputusan, Azizan berkata, mahkamah turut mengambil kira keadaan luar biasa yang boleh menjejaskan peranan pemohon dalam aktiviti politik, termasuk hak sebagai anggota parti, wakil rakyat, Ahli Parlimen atau anggota kerajaan negeri.
Beliau berpendapat, kesan berkenaan dalam keadaan tertentu tidak dapat dipulihkan, antaranya berkaitan penyertaan dalam sistem pilihan raya negara.
Jelas Azizan, mahkamah turut berpandangan bahawa tiada prejudis kepada pihak responden sekiranya penggantungan itu dibenarkan kerana pemantauan terhadap aktiviti PN atau pemohon masih boleh dilaksanakan mengikut undang-undang negara.
Menurutnya lagi, mahkamah menolak hujahan responden bahawa permohonan penggantungan pelaksanaan berkenaan telah menjadi akademik selepas pendaftaran pertubuhan itu dibatalkan pada 20 Oktober lalu.
Pada 22 September lepas, RoS mengeluarkan notis kepada PN, sebelum perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu berkuat kuasa pada 23 September.
RoS pada 24 September mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN dengan tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Lima pemimpin parti komponen PN diketuai Takiyuddin selaku pemohon pertama, kemudiannya memohon untuk semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.
Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People’s Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Sazmi Miah.
Dalam permohonan itu, Ketua Pengarah RoS, Datuk Muhammad Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinamakan sebagai responden-responden.



