KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mahu diberikan peluang untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun tidak menetapkan sasaran khusus jumlah kerusi yang ingin ditandingi.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, pihaknya menyerahkan keputusan mengenai jumlah kerusi kepada pucuk pimpinan parti, namun berharap Puteri UMNO tidak ketinggalan dalam menamakan calon pada PRN berkenaan.
“Kalau tanya Puteri, kalau boleh lima atau tiga pun tidak apa, alhamdulillah. Kita serahkan kepada parti, tetapi kita jangan ketinggalan untuk meletakkan calon puteri seperti di Negeri Sembilan.
“Walaupun mungkin pada masa itu Barisan Nasional tidak bertanding di semua kerusi, tetapi kita tidak mahu ketinggalan untuk ada calon puteri,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Pada PRN Negeri Sembilan, Siti Nur Umaira Hasim satu-satunya calon daripada Puteri UMNO Malaysia yang bertanding dan menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu.
Beliau mencatat kemenangan selesa dengan memperoleh 14,209 undi menewaskan Ahmad Faez Abdul Razak (PH) yang meraih 8,930 undi serta Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Bersatu yang mendapat 1,985 undi sekali gus menang dengan majoriti 5,279 undi.
Mengulas lanjut, Nurul Amal turut menjelaskan, setakat ini, tiada perbincangan rasmi dengan kepimpinan pusat tentang perkara itu kerana memberi laluan kepada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula 9 September ini.
“Perbincangan secara tidak serius itu ada, cuma mungkin
sekarang ni dekat Puteri dan juga UMNO pun semua fokus pada Perhimpunan Agung UMNO. Selepas itu baru sambung (perbincangan),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai fokus sayap Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, Nurul Amal berkata, ucapannya akan meletakkan fokus ke arah kematangan sempena 25 tahun penubuhan Puteri.
“Kita akan ada sedikit sambutan 25 tahun dalam PAU Puteri. Ucapan saya juga akan menjurus ke arah kematangan Puteri sempena 25 tahun dan juga tanggungjawab kepimpinan kerana kepimpinan itu bermula dengan tanggungjawab,” katanya.-UTUSAN
