am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung kali ini memberi kelebihan kepada parti itu kerana mempunyai persefahaman bersama Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, kelebihan yang ada itu tidak ada di dalam PRN Johor yang berlangsung baru-baru ini, sekali gus menyebabkan Barisan Nasional (BN) bertanding dalam banyak penjuru.
“Kelebihannya ialah persefahaman antara BN dengan PN. Itu merupakan satu kekuatan yang akan membolehkan seperti ada pada hari ini, Pakatan Harapan (PH) lawan dengan BN.
“Ia akan membuatkan orang Melayu yang menghantar mesej kepada UMNO, tak nak UMDAP, apabila nak pilih antara Datuk Saiful Yazan Sulaiman (calon BN Johol) dengan PH, dia tengok dalam PH itu ada siapa, dia suka tak suka semua akan beri (undi) kepada Datuk Saiful,” katanya semasa berucap pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johol.
Dalam PRN Negeri Sembilan bagi DUN Johol kali ini, Saiful yang merupakan penyandang akan bertanding satu lawan satu menentang calon PH, Mohd Zailan Mohd Munawar.
Mohamed Khaled juga menyifatkan PRN Johor baru-baru ini akan menyebabkan berlakunya ‘gelombang Melayu’ bagi menyokong BN di Negeri Sembilan.
Menurutnya, jentera BN di Negeri Sembilan juga perlu memastikan agar ‘gelombang Melayu’ itu berlaku.
“Gelombang Melayu ke BN itu bukan sesuatu yang hanya akan berlaku di Johor tetapi sebenarnya, itulah perasaan orang-orang Melayu pada hari ini yang hendak kembali ke BN
“Bolehkah itu berlaku? Bolehkah disahkan? Tuan-tuan dan puan-puan yang menjadi jentera BN, kena pastikan ia benar.
“Orang Melayu memang telah pun mempunyai satu kesedaran mahu memberi sokongan khususnya kepada BN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




