Evenepoel menang peringkat 15 TdF

Evenepoel menang peringkat 15 TdF

Plateau de Solaison: Juara Olimpik, Remco Evenepoel menewaskan pendahulu keseluruhan, Tadej Pogacar dalam pecutan penamat untuk memenangi peringkat 15 Tour de France (TdF), hari ini, ketika nasib malang menimpa Jonas Vingegaard yang terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan.

Pelumba Belgium itu menewaskan Pogacar di penghujung pendakian sejauh 11 kilometer (km), manakala pelumba Mexico, Isaac Del Toro melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga, enam saat di belakang pemenang.

Lebih dramatik, Vingegaard yang memulakan perlumbaan di tangga kedua keseluruhan terjatuh kira-kira 20km sebelum garisan penamat dan disyaki mengalami patah tulang selangka sebelum terpaksa menarik diri.

Kegagalan juara TdF 2022 dan 2023 itu menamatkan perlumbaan memberi kelebihan besar kepada Pogacar yang kini melebarkan pendahuluan keseluruhan kepada lima minit.

Kemenangan itu adalah yang ketiga buat Evenepoel di TdF, sekali gus melonjakkannya ke tangga kedua keseluruhan.

Del Toro pula naik dari kedudukan ketujuh ke tangga ketiga keseluruhan selain merampas jersi putih selaku pelumba muda terbaik daripada pelumba Perancis, Paul Seixas.

Seixas yang juga antara prospek muda terbaik Perancis menamatkan perlumbaan di tempat keempat, hampir seminit di belakang Evenepoel, manakala pelumba Jerman, Florian Lipowitz melengkapkan kelompok lima terbaik.

Hari yang mengecewakan turut dialami pelumba Sepanyol, Juan Ayuso yang terus kehilangan masa berharga selepas tercicir hampir dua minit di belakang Del Toro.

Ayuso yang kehilangan jersi putih kepada Seixas pada peringkat sebelumnya kini merosot ke tangga keenam keseluruhan.

Selepas 15 peringkat, Evenepoel menghuni tangga kedua keseluruhan dengan kelebihan hampir seminit ke atas Del Toro, manakala Seixas berada 25 saat di belakang pelumba Mexico itu dalam perebutan podium keseluruhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top