PRN N9: 'Kami mesyuarat macam biasa, dalam hati siapa yang tahu' – Anwar

PRN N9: 'Kami mesyuarat macam biasa, dalam hati siapa yang tahu' – Anwar

zanariah_mutalib@bh.com.my

Seremban: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, walaupun berdepan Barisan Nasional (BN) sebagai lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Tegas Perdana Menteri, langkah itu perlu diambil kerana mahu memastikan ekonomi negara tidak tergugat disebabkan ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan keyakinan pelabur kepada negara.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau mempengerusikan Mesyuarat Kabinet seperti biasa pagi tadi, dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, mesyuarat turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP dan turut bertanding serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang juga Presiden AMANAH.

“Memang betul politik di Malaysia ini dikejutkan dengan perubahan baharu (kerjasama BN dan PN) kerana Kerajaan Perpaduan stabil tapi tidak semena-mena ada keretakan di peringkat negeri.

“Di peringkat Pusat belum lagi. Mudah-mudahan, Insya-Allah kekal sampai pilihan raya.

“Jadi tadi saya, selain Mat Sabu, Anthony Loke, dengan Ahmad Zahid dan lain-lain hadir mesyuarat Jemaah Menteri macam biasa. Dalam hati siapa yang tahu.

“Saya mendukung tindakan itu (mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan) untuk memastikan kestabilan, ekonomi jangan tergugat.

“Bila politik tidak stabil pelabur tidak datang dan rakyat yang sengsara,” katanya ketika berucap pada program Ceramah Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan sempena kempen PRN Negeri Sembilan Ke-16 di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Mohamad; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun.

Anwar turut mempersoalkan masalah sebenar dalam pentadbiran Negeri Sembilan sehingga membawa kepada PRN berkenaan.

Ia berikutan beliau tidak pernah mendengar sebarang aduan mengenai Aminudin, sama ada gagal mentadbir dengan baik, terpalit rasuah, tidak membantu rakyat atau orang Melayu.

“Tiba-tiba sekarang, beliau (didakwa) tidak tolong Melayu, jadi boneka DAP. Yang tiga tahun setengah (pentadbiran) itu apa dia?

“Jelas sebab sebenarnya, mereka (BN) tidak puas hati kerana calon mereka bukan Menteri Besar. Itu yang membawa percubaan ‘tebuk atap’ yang awal di Negeri Sembilan.

“Saya bincang dengan mereka itu bukan seminggu sekali, kadangkala satu minggu tiga empat kali dengan pimpinan parti. Mustahil jika soal Melayu tergugat itu tidak akan dibincang dengan saya.

“Rupa-rupanya itu bukan isu. Isunya adalah bagaimana nak rebut kerana dia nak ambil juga jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top