PRN N9: Persiapan Pusat Mengundi Awal berjalan lancar – SPR

PRN N9: Persiapan Pusat Mengundi Awal berjalan lancar – SPR

Seremban: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di 38 pusat mengundi esok, berjalan lancar.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata segala keperluan dan kelengkapan bagi proses pengundian awal telah disediakan, bagi memastikan urusan pengundian berjalan teratur seperti yang dirancang.

“Alhamdulilah SPR telah bersiap sedia untuk melaksanakan undi awal yang akan berlaku pada hari esok.

“Pengundian awal ini membabitkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian awal termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Kem Segenting, Port Dickson mendapati petugas SPR membuat pelbagai persiapan menjelang proses pengundian awal esok.

Antara persiapan yang dilakukan termasuk menyusun atur saluran mengundi, memasang kelengkapan pilihan raya serta menjalankan semakan akhir bagi memastikan semua keperluan di pusat mengundi telah tersedia.

Kelihatan juga anggota polis dan tentera membantu petugas SPR membuat persiapan di kawasan pengundian mengikut saluran yang ditetapkan.

Sebanyak 22,339 anggota tentera dan polis serta pasangan yang layak akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRN Negeri Sembilan ke-16 esok.

Proses pengundian awal akan dibuka serentak pada 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi dan jumlah pengundi.

Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini, yang menyaksikan 103 calon layak bertanding.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun bagi memberi laluan kepada PRN, manakala SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top