Nilai : Kehadiran selebriti dan personaliti media popular, Haris Ismail bersama penyampai radio Hitz FM, Zach Ryan serta penerbit Radio Muzik RTM, Aliff Al-Farabby memeriahkan majlis pelancaran Pusat Media baharu INTI International University di sini, baru-baru ini.
Pelancaran kemudahan serba canggih itu menandakan pencapaian penting universiti berkenaan selepas dinaik taraf menerusi pelaburan berjumlah kira-kira RM2 juta bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran program Komunikasi Massa.
Bukan sekadar hadir merasmikan, Haris dan Zach turut mencipta sejarah apabila menjadi tetamu jemputan bagi episod sulung rancangan podcast yang diterbitkan secara rasmi di studio baharu pusat media berkenaan.
Pusat Media terbabit kini dilengkapi studio produksi televisyen berteknologi tinggi, bilik kawalan produksi (control room), studio radio, studio podcast, bilik audio, studio fotografi, serta suite penyuntingan profesional.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INTI International University & Colleges, Dr Chong Kok Wai, pelaburan besar itu bertujuan menyokong pendekatan pembelajaran berasaskan amalan praktikal sebenar sebelum graduan melangkah ke alam kerjaya.
Katanya, arus industri media terkini menuntut seseorang graduan menguasai pelbagai jenis kemahiran (multi-skilling) dalam menjayakan sesebuah projek penerbitan.
“Seseorang graduan mungkin diminta untuk menulis skrip, merakam, membuat penyampaian, dan menyunting dalam projek yang sama.
“Kami tidak dapat meramalkan setiap peralatan yang akan digunakan pada masa hadapan, namun kami boleh memberikan asas yang kukuh, pengalaman praktikal, serta keyakinan untuk mereka terus belajar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Siti Nurbaayah Daud menyifatkan kemudahan berkenaan sebagai platform utama untuk pelajar meneroka kaedah baharu dalam menyampaikan maklumat dan kandungan digital.
Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan ruang serta fasiliti moden itu sebaik mungkin demi menghasilkan karya yang berintegriti dan berimpak tinggi.
Majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi universiti, rakan strategik industri termasuk Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Ideaktiv, Idzrona Azrani serta barisan pensyarah dan pelajar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




