PRN Sabah: BN nafi berlaku perselisihan faham antara peringkat pusat, negeri

PRN Sabah: BN nafi berlaku perselisihan faham antara peringkat pusat, negeri

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Bangi: Barisan Nasional (BN) menafikan berlakunya perselisihan faham antara kepimpinan di peringkat pusat dan negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepimpinan BN tidak memiliki perbezaan prinsip, sebaliknya hanya melakukan penyelarasan tertentu sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah.

“Sebenarnya, kita melakukan penyelarasan dan saya semak kadang-kadang kenyataan (daripada sesetengah kepimpinan) itu diambil di luar konteks.

“Tidak ada perbezaan prinsip antara pendirian negeri khususnya UMNO dan BN dengan pusat kerana kami sering mengadakan rundingan dan perbincangan,” kepada pemberita selepas sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Institut Kemajuan Desa (INFRA) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan keputusan kepimpinan BN pusat dan negeri tidak sehaluan dalam soal kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO berpandangan, Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bertindak sebagai ‘jambatan’ bagi menghubungkan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRN.

“Kita telah membuat ketetapan BN dan PH dalam satu kesepakatan. Kesepakatan kita, kita buka pintu kepada lain-lain parti gabungan.

“Perkara itu sedang berada dalam ‘pipeline’ (saluran) dan saya tidak fikir perlunya jambatan atau sebarang saluran lain. Insya-Allah kita sedang mengadakan rundingan lebih luas daripada GRS,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top