PRN Sabah: Perbincangan kerusi ditandingi BN 95 peratus selesai – Ahmad Zahid

PRN Sabah: Perbincangan kerusi ditandingi BN 95 peratus selesai – Ahmad Zahid

razis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Agihan kerusi membabitkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dijangka dimuktamadkan pada minggu depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini perbincangan berkenaan perkara itu sudah selesai 95 peratus.

“Ya, (jumlah kerusi ditandingi) hampir selesai. Saya akan kata hampir 95 peratus.

“Saya akan mengumumkannya apabila terbang ke Kota Kinabalu pada minggu depan,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Ditanya berkenaan calon yang akan diketengahkan, beliau mendedahkan ramai calon baharu yang akan mewakili BN pada PRN Sabah.

“Saya rasa hampir 80 peratus wajah baharu, insya-Allah,” katanya.

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada 9 Oktober lalu, sekali gus memberi laluan kepada PRN Sabah diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ia dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. PRN kali ini akan menyaksikan perebutan 73 kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top