PRN17: WARISAN sahkan bertanding 73 kerusi DUN Sabah

PRN17: WARISAN sahkan bertanding 73 kerusi DUN Sabah

am@hmetro.com.my

Semporna: Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan akan bertanding sebanyak 73 kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijadualkan berlangsung tahun ini.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata semua calon yang berpotensi untuk bertanding di semua 73 kerusi itu juga sudah disenaraikan.

“Kita bertanding 73 kerusi yang ada dan kita pun sudah mempunyai calon berpotensi. Kita cuma tinggal menunggu pengumuman (tarikh PRN17) sahaja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna, malam ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyenaraikan tiga kriteria utama calon yang dipilih pihaknya untuk bertanding dalam PRN17 Sabah kelak.

“Pertama, calon yang boleh menang. Kedua, calon yang jangan melompat (keluar dari parti) dan ketiga calon yang perlu memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu esok bila jadi calon, jadi Yang Berhormat, rakyat yang ditinggalkan dan merosakkan parti. Jangan tutup pintu (tidak berkhidmat kepada rakyat), bila sudah datang PRN seterusnya, dia (bakal calon) tutup undinya.

“Ini kebimbangan kita. Kita pastikan supaya amalan perkhidmatan kita kepada rakyat ada kelangsungan dan jangan bermusim,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top