Produk akademi Man United perkuat Kelantan Red Warrior

Produk akademi Man United perkuat Kelantan Red Warrior

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bekas pemain skuad remaja Manchester United, Otis Khan antara pemain import yang memperkuat pasukan Kelantan Red Warrior (KRW) bagi saingan Liga A1 Semipro, musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu yang akan beraksi di posisi penyerang, diperkenalkan dalam majlis memperkenalkan pemain dan jersi pasukan KRW musim 2025/26, hari ini.

Dua lagi import adalah Emmanuel Mbarga dari Cameroon dan Kayden Soper dari Australia.

Selain tonggak import, KRW turut mempertaruhkan pemain senior, Norshahrul Idlan Talaha, ‘Messi Ganu’, Faiz Nasir dan beberapa ubi muda.

Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, persiapan pasukan kini sudah 90 peratus lengkap dan bersedia sebelum sepak mula liga,Ogos ini.

Katanya, pasukan kini sedang mencari pengganti Yusri Yuhasmadi yang sempat berlatih seketika dengan KRW sebelum memilih tidak meneruskan kerjaya bola sepak selepas mendapat tawaran kerja badan kerajaan.

“Kita sedang mencari pemain bek tengah yang bagus untuk melengkapkan pasukan,” katanya dalam majlis memperkenalkan pemain dan jersi di Mydin Tunjung, hari ini.

Dalam majlis itu, pasukan memperkenalkan jersi bercorak checkered berwarna merah sebagai jersi tuan rumah dan jersi berwarna putih bagi jersi tempat lawan tajaan Warrix, syarikat pengeluar pakaian sukan Thailand.

Ujian sebenar ketua jurulatih, Irfan Bakti akan diuji dengan perlawanan pertama menentang Selangor II, 4 Ogos ini.

KRW akan berentap bersama 15 lagi pasukan bagi saingan Liga A1 tahun ini, termasuk pasukan senegeri, WTS FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top