Produk ‘Trump 2028’ mula dijual

Produk ‘Trump 2028’ mula dijual
Topi yang dijual di laman Trump Store.

Topi yang dijual di laman Trump Store.

WASHINGTON – Kedai dalam talian Donald Trump sudah pun menjual produk tertera ‘Trump 2028’ tahun di mana Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) bakal berlangsung dan beliau dilarang bertanding semula.

Sokongan ke atas pemimpin berusia 78 tahun itu yang semakin menurun berdasarkan keputusan tinjauan terbaharu tidak menghalang Trump untuk menyimpan hasrat mengekalkan jawatan penggal ketiga di Rumah Putih.

Tetapi, cita-cita itu mungkin tidak dapat direalisasikan berdasarkan ketetapan tempoh had pentadbiran Presiden yang terkandung dalam Perlembagaan.

Akaun media sosial yang mempunyai kaitan dengan Trump pada Khamis turut berkongsi gambar anaknya, Eric memakai salah satu topi merah yang dijual pada harga AS$50 (RM219).

“Tampilkan kenyataan dengan topi Trump 2028 buatan Amerika ini,” menurut penerangan produk di laman Trump Store tersebut.

Platform itu turut menjual kemeja T tertera ‘Trump 2028 (Gubal semula Peraturan)’ dengan harga AS$36 (RM158).

Trump kembali mencuri tumpuan ramai dengan barang niaga tersebut ketika popularitinya terus merudum setelah melancarkan perang tarif dan menjelang 100 hari penggal kedua pentadbirannya di Rumah Putih. – Agensi

Info:

> Pindaan ke-22 Perlembagaan AS telah diterima pakai setelah Presiden ke-32 AS, Franklin D Roosevelt dilantik sebanyak empat kali. Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun pada awal penggal keempat pentadbirannya.

> Pindaan yang berkuat kuasa pada 1951 itu menetapkan tiada individu yang boleh dilantik sebagai Presiden lebih daripada dua kali.

> Trump memerlukan dua pertiga majoriti undian di Dewan Perwakilan AS untuk meminda Perlembagaan jika mahu mengekalkan jawatan untuk penggal ketiga. Keputusan itu juga perlu diratifikasi oleh kira-kira 38 daripada 50 negeri di AS. Prospek itu menyebabkan ‘cita-cita’ Trump tersebut sebagai perkara mustahil.

> Presiden ke-47 AS itu amat yakin kerana beliau mendakwa mempunyai ‘kaedah’ untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Scroll to Top