Produktiviti tinggi bawa keuntungan kepada syarikat, pekerja – MPC

Produktiviti tinggi bawa keuntungan kepada syarikat, pekerja – MPC

KUALA LUMPUR – Produktiviti yang tinggi berupaya membawa kepada gaji yang tinggi kepada rakyat, kata Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail.

Menurutnya, pada masa yang sama, produktiviti yang tinggi turut dapat menghasilkan peningkatan keuntungan kepada syarikat serta sumbangan hasil cukai yang lebih besar kepada kerajaan.

Malaysia mempunyai potensi pertumbuhan produktiviti yang sangat besar, dengan sasaran pertumbuhan sebanyak 3.8% setahun (2024-2025) melalui peningkatan kemahiran, penerimagunaan teknologi serta dasar dan peraturan yang berkesan.

Zahid berkata, menerusi peningkatan kemahiran, rakyat perlu melibatkan diri dalam pendidikan formal dan tidak formal untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk kekal bersaing di pasaran pekerjaan yang sentiasa dinamik.

Katanya, Malaysia mensasarkan peningkatan dalam petunjuk prestasi Purata Tempoh Pembelajaran dalam Indeks Pembangunan Sumber Manusia kepada 12.5 tahun menjelang 2030 dari 10.6 tahun pada ketika ini.

Melalui penerimagunaan teknologi pula, syarikat perlu memahami dan mengguna secara menyeluruh kaedah pengurusan moden, teknologi digital, automasi dan mekanikal untuk meningkatkan kecekapan.

Menurut beliau, Indeks Teknologi Digital perlu ditingkatkan ke kedudukan ke-12 menjelang tahun 2030 dari kedudukan ke-33 pada ketika ini di kalangan 64 negara.

Pembuat polisi juga perlu memastikan agar dasar dan peraturan yang dikuatkuasakan adalah tidak membebankan rakyat dan syarikat.

Malaysia mensasarkan Indeks Daya Saing Global di kedudukan ke-12 menjelang tahun 2030 dari kedudukan ke-27 pada tahun 2023.

Pertumbuhan produktiviti merupakan pemacu kepada reformasi di peringkat rakyat, organisasi, industri dan negara.

Dengan pemahaman, penglibatan aktif dan kerjasama daripada semua pihak ke arah meningkatkan produktiviti, kita akan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih makmur, bahagia, sejahtera, dan mampan, ujarnya. – MalaysiaGazette