Profesor AS beri saranan tambah garam dalam minuman teh dikecam penduduk UK

Profesor AS beri saranan tambah garam dalam minuman teh dikecam penduduk UK

LONDON: Penyelidikan baharu oleh pakar akademik Amerika Syarikat (AS) mencadangkan untuk menambah secubit garam bagi menyediakan minuman teh yang sempurna.

Saranan itu dibuat oleh Profesor Kimia Bryn Mawr College di Pennsylvania, Michelle Francl.

Bagaimanapun penyelidikan Francl menimbulkan kekecohan di United Kingdom (UK), hingga mendapat campur tangan diplomatik daripada Kedutaan AS.

“Kami tidak boleh berdiam diri kerana cadangan yang keterlaluan itu mengancam asas perhubungan istimewa kami dengan UK.

“Teh adalah penawar persahabatan, ikatan suci yang menyatukan negara kita.

“Kami mahu memastikan kepada rakyat UK bahawa tanggapan yang tidak munasabah untuk menambah garam ke dalam minuman kebangsaan Britain bukanlah dasar rasmi AS dan tidak akan berlaku,” kata kedutaan itu di laman X.

Francl mendedahkan hasil kajian itu selepas menganalisis kertas penyelidikan dan teks purba sejak lebih 1,000 tahun lalu untuk memutuskan kaedah yang betul membuat secawan teh terbaik.

Beliau mengakui terkejut dengan kontroversi yang berlaku dan menegaskan tidak berniat untuk mencetuskan insiden diplomatik.

“Emel saya dipenuhi kecaman hari ini. Saya tidak menjangkakan untuk bangun pagi ini dan melihat ramai orang bercakap tentang garam dalam teh mereka,” katanya kepada BBC.