Program KL-YES ubah perspektif pelajar, bentuk generasi berfikiran global

Program KL-YES ubah perspektif pelajar, bentuk generasi berfikiran global

SEPANG – Pengalaman menetap bersama keluarga angkat di Amerika Syarikat (AS), menyesuaikan diri dalam persekitaran masyarakat yang berbeza serta belajar berdikari jauh daripada keluarga menjadi antara kenangan paling berharga buat peserta program pertukaran pelajar Kennedy-Lugar Youth Exchange and Study (KL-YES) 2026.

Aizan Hakimi Rashid, 18, berkata, pengalaman selama enam bulan di Madison, Connecticut mengajarnya mengenai kepentingan menerima kepelbagaian budaya dan latar belakang masyarakat bagi mewujudkan hubungan lebih baik sesama manusia.

“Cabaran terbesar ialah menyesuaikan diri dalam komuniti yang majoritinya beragama Kristian dan terdiri daripada penduduk kulit putih.

“Pada mulanya agak sukar untuk saya berkawan dengan orang lain, namun lama-kelamaan saya belajar bahawa kita perlu keluar daripada zon selesa, berinteraksi dan mencari persamaan minat dengan mereka,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari AS, pada Sabtu.

Berkongsi pengalaman menyambut Ramadan di negara itu, Aizan Hakimi memberitahu, dia bernasib baik kerana mempunyai keluarga angkat yang memahami dan menghormati amalan agamanya.

“Mereka menyediakan makanan untuk saya dan pastikan keperluan saya sepanjang Ramadan dipenuhi.

“Dalam masa sama, saya mengambil peluang untuk berkongsi dengan mereka mengenai Ramadan, tujuan berpuasa dan latar belakang amalan tersebut kerana tidak ramai yang memahaminya,” ujarnya.

Bagi Ng Qin Yi, 18, program berkenaan mengajarnya supaya tidak terlalu bergantung kepada jangkaan kerana realiti kehidupan di luar negara tidak semestinya seperti yang digambarkan dalam media sosial.

“Ramai orang beranggapan kehidupan di AS sangat glamor seperti yang dilihat di media sosial. Namun apabila saya tiba di sana, realitinya sangat berbeza daripada apa yang saya bayangkan.

“Saya belajar bahawa kita tidak boleh terlalu mengharapkan perkara-perkara yang baik berlaku seperti yang dirancang. Sebaliknya, pengalaman itu mengajar saya untuk melihat sesuatu dengan lebih terbuka,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Kebangsaan Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia, Kuhan Kandiah Chelvanathan menjelaskan, program yang diperkenalkan pada tahun 2003 itu bertujuan meningkatkan persefahaman antara masyarakat AS dan negara-negara majoriti Muslim.

Menurutnya, Malaysia dipilih sebagai antara negara terawal menyertai program berkenaan kerana keunikan masyarakat majmuk yang menjadi contoh keharmonian antara kaum dan agama.

“Malaysia sangat sesuai kerana kita mempunyai kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang boleh dikongsi bersama masyarakat antarabangsa.

“Pengalaman ini membantu peserta menghargai nilai, budaya dan agama sendiri dengan lebih mendalam selepas melihat perbezaan cara hidup di negara lain,” katanya.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 2004, lebih 800 pelajar Malaysia telah mengikuti program pertukaran pelajar peringkat sekolah menengah yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan AS melalui Kedutaan AS di Malaysia dengan kerjasama Yayasan AFS Antarabudaya Malaysia.

 

Scroll to Top