FIFA, AFC sentiasa periksa akaun FAM – Hamidin

FIFA, AFC sentiasa periksa akaun FAM – Hamidin

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak pernah berkompromi dalam aspek tadbir urus kewangan apabila setiap penyata kewangan badan induk itu sentiasa melalui proses audit yang ketat dan telus, termasuk semakan oleh juruaudit bertauliah serta badan bola sepak tertinggi dunia dan Asia babitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Malah, Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menegaskan dakwaan kononnya FAM gagal membentangkan atau mengaudit kewangan sejak 10 tahun lalu adalah tidak berasas kerana rekod audit badan induk itu sentiasa dipatuhi mengikut prosedur dan peruntukan statut yang ditetapkan.

Beliau berkata, setiap laporan kewangan FAM terlebih dahulu melalui semakan Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) sebelum dibawa ke Kongres untuk mendapatkan kelulusan.

“FAM tidak pernah gagal daripada dahulu sehingga sekarang dalam soal audit kewangan. Semua proses dilakukan mengikut Jawatankuasa Kewangan, Exco dan juga Kongres seperti yang ditetapkan dalam statut FAM.

“Kewangan FAM juga diaudit oleh juruaudit bertauliah sebelum dibentangkan dalam Kongres. Selain itu, terdapat juga audit daripada FIFA dan AFC kerana dana yang diterima datang daripada kedua-dua badan itu,” katanya yang juga mantan Presiden FAM dari 2018-2025.

Hamidin berkata demikian bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan dakwaan berhubung aspek tadbir urus kewangan FAM.

Beliau menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh AFC sebelum ini bukan berkaitan kegagalan mengaudit penyata kewangan, sebaliknya melibatkan pembentangan bajet tahunan yang tidak dibawa ke Kongres selepas pindaan statut FAM pada 2023.

Katanya, sebelum itu FAM mengguna pakai statut FIFA dan AFC yang diperkenalkan sejak 2010, namun selepas pindaan dilakukan, terdapat keperluan tertentu berkaitan pembentangan bajet yang perlu dipatuhi.

“Apa yang dibangkitkan AFC bukan mengenai kewangan yang telah diaudit. Ia berkaitan pembentangan bajet.

“Daripada 2023 hingga 2025, bajet itu tidak dibentangkan dalam Kongres, tetapi ia tetap dibentangkan dan diluluskan di peringkat Exco serta Jawatankuasa Kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, Hamidin menegaskan tiada sebarang isu berkaitan audit kewangan FAM kerana semua penyata kewangan badan induk itu telah melalui tiga lapisan semakan iaitu juruaudit dalaman dan bertauliah, selain audit daripada FIFA serta AFC.

“Kewangan memang sudah diaudit. Audit dilakukan oleh juruaudit bertauliah kita, selain audit FIFA dan AFC. Itu perkara yang perlu difahami supaya tidak timbul kekeliruan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top