Las Vegas, Nevada: Sebuah syarikat teknologi Taiwan membangunkan program dibantu kecerdikan buatan (AI) bagi membantu pemain badminton mempertingkatkan permainan mereka di gelanggang.
Program latihan itu dibangunkan Institut Penyelidikan Teknologi Industri Taiwan (ITRI) yang menggabungkan kamera berkelajuan tinggi dan cip AI bagi memberikan maklum balas statistik serta imejan pergerakan serta-merta kepada pemain.
Pemain badminton Olimpik Amerika Syarikat, Howard Shu diberi peluang menggunakan program itu buat pertama kalinya di CES 2025, Las Vegas, Selasa lalu.
“Sangat menarik dapat mencuba teknologi baharu itu kerana dapat memberi saya beberapa data dan output yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia,” kata Shu.
ITRI menyediakan sebuah gelanggang mini ketika pameran CES dengan kamera di sudut untuk merakam pemain yang memukul bulu tangkis.
Sebuah skrin diletakkan berhampiran memaparkan kelajuan pukulan, ketinggian bulu tangkis melintasi jaring dan tempat ia akan jatuh.
Skrin lain di luar menunjukkan pergerakan badan pemain ketika mereka memukul bulu tangkis.
Pengarah bahagian di ITRI, Chin-Hung Wang yang membangunkan projek ini selama dua tahun lalu berkata, projek berkenaan menyediakan data dan maklumat berguna supaya pemain dapat memperbaiki permainan dan kemahiran mereka.
Wang berkata, teknologi itu boleh diterapkan kepada sukan lain seperti tenis dan ping pong.
Shu yang bertanding di Olimpik Rio 2016 dan Olimpik Paris 2024 berkata, beliau teruja dengan masa depan AI dalam sukan.
“Saya teruja untuk melihat sejauh mana teknologi ini akan membantu kerana kita sudah dapat melihat bagaimana teknologi membantu dalam sukan lain.
“Saya suka menggunakan golf sebagai contoh. Anda dapat melihat betapa teknikal dan telitinya pemain mereka dengan putaran bola, kelajuan, ketinggian dan hayunan.
“Jadi saya rasa ini adalah perkara yang akan mula kita lihat diserap dalam sukan raket juga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




