hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Shah Alam: Program Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam terus menyerlah di peringkat antarabangsa apabila memenangi Diamond Award dalam kategori ‘Excellence in PR Institution’ pada ASEAN PR Excellence Award edisi ke-5.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden ASEAN PR Network Indonesia merangkap Pengarah dan Pengasas London School of PR (LSPR) Indonesia, Dr Prita Kemal Gani serta Timbalan Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi dan Digital, Nik Kamaruzaman Nik Husin kepada Koordinator Kursus Perhubungan Awam Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Melina Mahpuz dalam majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.
UiTM dalam satu kenyataan berkata, majlis penganugerahan itu diadakan sempena Kuala Lumpur International PR Conference.
Katanya, ia memberi pengiktirafan terhadap institusi dan individu yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan industri perhubungan awam di rantau ASEAN, selaras dengan peranan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak GCC-ASEAN 2025.
“Pengiktirafan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran dan pengajaran inklusif serta mampan yang dilaksanakan oleh FKPM UiTM yang berpaksikan realiti industrisemasa.
“Fakulti ini bukan sahaja menghasilkan graduan berpengetahuan tinggi, malah mampu menangani cabaran industri komunikasi yang semakin kompleks dan dinamik,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (MassComm) UiTM turut mencatat sejarah apabila diumumkan sebagai fakulti nombor satu di Malaysia dalam bidang Perhubungan Awam dan melonjak ke kedudukan ke-7 di Asia dalam penarafan akademik terkini.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen FKPM UiTM dalam membina ekosistem pendidikan perhubungan awam yang progresif serta relevan dengan keperluan industri.
“Selaras dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi digital, FKPM UiTM Shah Alam akan terus menerajui pembentukan masa depan industri perhubungan awam yang kompetitif di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” menurut kenyataan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




