Program Podium tetap diteruskan

Program Podium tetap diteruskan

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menambah baik Program Podium Sukan Elit (Program Podium) bagi meningkatkan kualiti dan prestasi atlet negara.

Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim berkata, program itu akan diteruskan bagi menyediakan bantuan, latihan dan dana untuk atlet-atlet berprestasi tinggi walaupun objektif utama iaitu memenangi emas pertama Sukan Olimpik belum tercapai.

Katanya, antara penambahbaikan yang akan diteliti meliputi latihan, pertukaran pengetahuan, jurulatih dan fasiliti.

“Kalau kita lihat peruntukan yang diberikan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2024 untuk program podium itu akan ditambah, supaya kita dari semasa ke semasa boleh menambah baik persembahan dan pencapaian atlet-atlet kita,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan AEON Malaysia dan KBS pada Selasa.

Scroll to Top