Program RTG berpotensi naikkan gaji jurulatih

Program RTG berpotensi naikkan gaji jurulatih

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Program Road To Gold (RTG) bukan sahaja memberi manfaat kepada barisan atlet elit negara, malah memainkan peranan lebih besar apabila jurulatih juga menerima tempias positif melalui insentif jawatankuasa selepas ia dipersetujui bersama.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sukan badminton antara contoh terbaik kerana tiga jurulatih mereka, iaitu Herry Iman Pierngadi (ketua jurulatih beregu lelaki), Rosman Razak (ketua jurulatih beregu wanita) dan Nova Widianto (ketua jurulatih beregu campuran) akan menerima durian runtuh daripada RTG sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka yang berjaya menghasilkan peningkatan cemerlang buat prestasi pemain beregu negara.

“RTG komited untuk membantu menambah gaji ketiga-tiga jurulatih ini sebagai usaha memperkukuh lagi prestasi pemain kebangsaan, terutama dalam misi memburu pingat emas Olimpik pertama negara,” katanya.

Melihat kepada prestasi semasa, atlet badminton negara seperti Aaron Chia–Soh Wooi Yik, Tee Kai Wun–Man Wei Chong (beregu lelaki), dan Pearly Tan–M Thinaah (beregu wanita), kesemunya menunjukkan prestasi membanggakan selepas berjaya meraih beberapa kejuaraan dalam tempoh enam bulan pertama.

Antaranya, Aaron–Wooi Yik berjaya mara ke pentas final sebanyak tiga kali berturut-turut dan meraih gelaran juara di Masters Thailand dan Terbuka Singapura. Sebelum itu, mereka turut mencuri tumpuan apabila muncul sebagai pemenang di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.

Lebih membanggakan, kehadiran jurulatih yang dikenali sebagai Naga Api itu membantu bekas juara dunia itu melonjak ke ranking kedua dunia, sekali gus memberi gambaran cukup positif buat kem badminton negara untuk mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.

Sementara itu, Kai Wun–Wei Chong yang kini menghuni tangga ketujuh dunia turut cemerlang di halaman sendiri apabila berjaya menaiki podium selaku gandingan nombor satu selepas muncul juara di Masters Malaysia. Selain itu, mereka turut beraksi cemerlang untuk meraih kejuaraan di Masters Indonesia pada awal tahun lalu.

Beregu nombor tiga dunia, Pearly–Thinaah juga tidak ketinggalan membuktikan mereka antara yang terbaik selepas meraih kejuaraan di Masters Malaysia serta berjaya mara ke perlawanan akhir sebanyak dua kali, iaitu di Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia.

Tidak ketinggalan, beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei kini kembali berada di ranking keempat dunia, diikuti pasangan muda, Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin yang kini menduduki tangga ke-13 dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top