Program Subsidi Upah stabilkan pasaran buruh

Program Subsidi Upah stabilkan pasaran buruh

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi penekanan menyelamat sektor pekerjaan di Malaysia menerusi siri pakej rangsangan khususnya Program Subsidi Upah (PSU) berikutan kesan COVID-19 menjadi ejen penstabil dalam pasaran buruh.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata PSU dilihat sebagai insentif bagi majikan untuk mengekalkan pekerja ketika situasi ekonomi masih terkesan akibat penularan COVID-19.

“Buat masa ini, angka pengangguran masih agak tinggi iaitu lebih 700,000 yang menganggur pada Januari lalu.

“Namun, sekiranya tiada PSU, mungkin angka pengangguran akan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Afzanizam menjelaskan, PSU adalah bantuan kerajaan yang dapat mempertahankan daya saing sesuatu perniagaan dengan peniaga mampu mengekalkan pekerja yang menjadi aset syarikat ketika cabaran COVID-19.

“Hakikatnya, untuk mencari pekerja bukan sesuatu yang mudah, terutama mereka yang rajin dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata PSU dilihat sebagai satu keperluan penting bagi memastikan ramai rakyat Malaysia kekal dalam pekerjaan dan tidak menyebabkan kadar pengangguran naik mendadak.

Beliau berkata, ia penting kerana jika ada individu kehilangan pekerjaan, kesannya bukan sahaja terhadap individu semata-mata, tetapi juga dirasai ahli keluarga yang bergantung kepadanya.

“PSU dilihat antara inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi yang memberi impak positif ketara dalam jangka masa singkat.

“PSU membantu majikan mengekalkan pekerja, namun seperti saya sebut tadi, ia harus diselarikan dengan inisiatif lain yang membolehkan majikan mula menjana pendapatan seperti sebelum pandemik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top